Bendera tanpa simbol bulan: Ambil tindakan tegas pihak cetus kontrovesi
- Suara Keadilan
- 2 days ago
- 1 min read

Pihak berkuasa digesa bertindak tegas dalam isu penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak mempunyai simbol bulan sabit sebagai lambang agama Islam diterbitkan oleh akhbar Sin Chew Daily semalam.
Menurut Setiausaha Pertubuhan Pendidikan Intelek Warga Terengganu, Ahmad Nadhir Yob, ilustrasi itu telah menimbulkan keresahan awam dan boleh mengancam keselamatan negara sekiranya tidak diambil tindakan segera.
"Pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri diminta mengambil tindakan tegas terhadap isu ini, di mana rakyat mula respons di media sosial dalam keadaan marah dan ini membuktikan bahawa isu ini boleh mengancam keselamatan negara jika tidak diurus dengan baik.
"Laporan polis telah dibuat pelbagai pihak berhubung isu ini. Maka Pertubuhan Pendidikan Intelek Warga Terengganu menggesa pihak kerajaan mengambil tindakan cukup tegas termasuk tindakan membatalkan permit penerbitan," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang membuat laporan polis di IPD kemaman semalam berkata pihak berkuasa tidak seharusnya terlalu bertoleransi terutama kepada penerbitan yang sering menimbulkan isu kontroversi.
"Kali ini isu ini tidak boleh ditoleransi. Pihak kerajaan harus tegas menangani isu yang mengancam keselamatan negara," katanya lagi.
Semalam, pihak pengurusan akhbar Sin Chew Daily dilaporkan telah tampil memohon maaf atas kesilapan memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang itu pada muka hadapan akhbar.
Dalam kenyataan dikeluarkan, akhbar tersebut menjelaskan, perkara berkenaan berlaku disebabkan kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.
Pindaan segera dilakukan kepada ilustrasi versi digital, manakala ilustrasi yang dipinda dan disempurnakan akan diterbitkan semula dalam versi cetak.
Comments