Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Koordinator, Projek Wawasan Rakyat (POWR), Muhammad Faisal Abdul Aziz menyifatkan kibaran bendera putih adalah satu manifestasi suara rakyat melangkaui kepentingan politik kepartian.
Beliau berkata, ia menyedarkan pemimpin negara bahawa keadaan rakyat ketika ini sudah kritikal.
"Ini dapat dilihat menerusi beberapa insiden yang menyedihkan termasuklah kes bunuh diri yang semakin meningkat.
"Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertarikh 1 Julai 2021, secara keseluruhan statistik bunuh diri di Malaysia telah menjangkau angka 1,000 dari tahun 2019 hingga Mei 2021 serta menyaksikan purata kes bunuh diri 2 kali sehari.
"Begitu juga dengan laporan dari Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi (AEC) menyatakan lebih 600,000 isi rumah dari golongan berpendapatan pertengahan (M40) telah tergelincir ke dalam kategori golongan berpendapatan rendah B40 yang memberi gambaran kesengsaraan rakyat yang semakin menebal.
"Maka, ABIM menegaskan menerusi beberapa inisiatif baik yang datang dari rakyat termasuk kibaran bendera putih, ia satu terjemahan kepada fenomena baharu #rakyatjagarakyat iaitu rakyat bersama-sama membantu antara satu sama lain tanpa perlu menunggu inisiatif daripada pemerintah," katanya.
Pada masa sama, Faisal berkata semua pihak harus menghormati hak rakyat untuk mengibarkan bendera putih sebagai cara yang ada untuk menampung kelangsungan hidup diri dan keluarga.
"Maka, pihak kerajaan tidak seharusnya menghalang inisiatif murni rakyat untuk membantu rakyat yang lain khususnya menerusi pelbagai tafsiran politik yang menyimpang.
"Tindakan seperti ini bakal menzahirkan kemarahan rakyat yang memang sudah semakin tertekan.
"ABIM juga ingin mengambil kesempatan untuk menyeru seluruh rakyat atas semangat #BangsaMalaysia untuk bersama berganding bahu membantu antara satu sama lain sebagai mekanisme bersama untuk memberdaya rakyat untuk jangka masa panjang, kerana situasi permasalahan yang berlaku hari ini menimpa semua pihak tanpa mengira kaum dan agama yang harus dibantu dan diberdaya bersama.
"Kepada Allah Subhanahu wa-Ta'ala kita bergantung, sesama masyarakat dan rakyat kita tolong-menolong," katanya.
Comments