top of page

Benarkah Melayu, Islam Terancam Atau Mainan Propaganda Tun M - PN?

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Apr 8
  • 3 min read

Updated: 6 days ago



Oleh: Dr. Bam Al-Haj


ULASAN: Tun Mahathir menggunakan sepenuhnya teori Joseph Gobbels, Menteri Propaganda Nazi zaman Hitler untuk memomokkan musuhnya Anwar Ibrahim.


Ulang dan ulang dan ulang sesuatu perkara secara logik selapis, maka akhirnya orang akan percaya, walaupun hal itu hanyalah kebenaran separuh (half truth).


Kalau nak cerita kampung-kampung Melayu di bandar yang telah lupus, itu dah berlaku sejak dia sendiri memerintah 22 tahun (1981-2003) lagi.


Sikap kuku besi


Ketika berkuasa dahulu dia (Mahathir) bersikap kuku besi (diktator) memaksa dan menghalau orang Melayu dari Kg. Semarak, Kg. Abdullah Hukum, Kg. Samudera, Kg. Lindungan, Kg. Pantai Luar dan lebih 30 kampung Melayu di Kuala Lumpur.


Itulah kerosakan dan kezaliman yang dilakukannya terhadap orang Melayu.


Dulu dialah yang laksanakan PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Maternatik dalam Bahasa Inggeris), ajar mata pelajaran Sains dan Matermatik dalam Bahasa Inggeris. BM diketepikan.


Dialah yang menghapuskan kuasa Raja-raja Melayu dengan meminda Perkara 32, 38, 42, 63, 72 dan 181 dalam Perlembagaan.


Dialah yang melakukan "bail-out" berjumlah lebih RM120 bilion bagi menyelamatkan kroni-kroninya, termasuk Eric Chia (Perwaja), Mirzan Mahathir (KPB), Thing Pek Khiing (Empangan Bakun), Tajudin Ramli (MAS) dan lain-lain.


Sekarang mahu membela Melayu?


Semua itu dilakukan bagi menutup segala kerosakan, kelemahan dan kezalimannya dahulu. Anak-anak muda jangan termakan dengan propaganda Mahathir nak bela Melayu. Konon. Zaman dialah politik wang berleluasa.


Apakah legasi Mahathir selain daripada lebuh raya Plus (kena tol), projek mega KLCC (dijual kepada Brunei), Putrajaya, KLIA dan F1 (jadi gajah putih)?


Kegagalan Mahathir


Dia tinggalkan kerajaan dengan hidup mewah dan anak-anaknya bertaraf billionaire belaka. Tanah rizab Melayu pun hanya tinggal 17%. DEB yang tamat pada 1990 hanya capai 23% pemilikan ekuiti Melayu-Bumiputera.

Dr. Bam Al-Haj
Dr. Bam Al-Haj

Kapsul Masa 2020 yang dia tanam pada 1991 di Taman Putra Perdana, Putrajaya pun tak berani dibuka dan umumkan kerana dia tahu Wawasan 2020nya gagal.


Semua orang disalahkannya. Dia kata "Melayu malas" dan "Melayu mudah lupa". Semua masalah orang Melayu yang ditulisnya dalam buku "The Malay Dilemma" pada 1970 untuk menjatuhkan Tunku Abdul Rahman (PM1) dahulu, berbalik kepada dirinya.


Dia gagal membangunkan orang Melayu. Mana Masyarakat Perdagangan dan Perniagaan Bumiputera yang dia impikan dahulu?

Itu semua adalah kegagalan Mahathir. Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih teruk.


Melayu Mudah Lupa


Tetapi Melayu mudah lupa. Bila Mahathir "cium mulut" dengan Hadi Awang, dia terus jadi "suci". Pas pun lupa kes Memali (1985).


Lupa bagaimana Mahathir berjaya menyekat kemaraan pembangkang dengan menggunakan kuasa melaksanakan persempadanan semula (gerrymandering) untuk dia terus berkuasa.


Lupa bagaimana dia menggunakan kuasa menyekat kebebasan bersuara, membatalkan permit akhbar/majalah dan hanya membenarkan media arus perdana (akhbar dan tv) menyiarkan berita yang menyokongnya sahaja. Lupa bagaimana ratusan musuh politiknya yang dipukul, ditangkap dan dipenjarakan.


Lupa bagaimana Tun Salleh Abas, Ketua Hakim Negara yang dipecat kerana tidak mahu ikut telunjuknya. Lupa bagaimana Tan Sri Ani Arope, CEO TNB yang dipaksa letak jawatan kerana menyanggah Mahathir dahulu?


Lupa bagaimana Tun Musa Hitam terpaksa meletakkan jawatan kerana bertentang pendapat dengannya. Lupa bagaimana dia pecat Anwar Ibrahim sebagai TPM.


Lupa bagaimana dia jatuhkan Pak Lah kerana tak setuju bina jambatan bengkok Johor-Singapura. Lupa bagaimana dia jatuhkan Najib seolah-olah anak Tun Razak itu tidak ada jasa langsung. Mahathir ini jenis lempar batu sembunyi tangan.


Dia sebenarnya Machiavelli Malaysia. Dulu dia sanggup jumpa Anwar Ibrahim di mahkamah semata-mata mahu jatuhkan Najib.

Semua musuh politiknya itu bukan Melayukah?


Naratif Melayu-Islam menipu


Maka naratif Melayu-Islam terancam yang dijaja pemimpin PN dan kini digunakan Mahathir sebenarnya hanyalah untuk:


1. Menganggu PMX melaksanakan tanggungjawab bagi membina negara, menghapuskan rasuah dan membetulkan kerosakan yang dibuat Mahathir dahulu.


2. Menutup kes "bail-out" yang dilakukannya untuk selamatkan kroni-kroni, termasuk anak-anaknya.


3. Kezaliman yang dilakukannya terhadap semua musuh-musuh politiknya dahulu.


4. Menutup kerakusannya meminggirkan Melayu atas nama pembangunan.


5. Dendam kesumatnya terhadap Anwar Ibrahim kerana takut legasinya dipadamkan daripada sejarah, kerana dia tahu Anwar Ibrahim lebih baik daripadanya.


6. Memadamkan jasa-jasa Anwar Ibrahim dalam kerajaan dahulu (bina UIAM, Pasar Tani, SUKMA, membangunkan Falsafah Pendidikan Negara, Menteri Kewangan terbaik 7 tahun berturut-turut dll).


7. Menafikan kejayaan PMX memulihkan ekonomi negara apabila Kerajaan Madani (berjaya mencapai pertumbuhan 5.1% setahun, meminda Akta Parlimen, membasmi rasuah - indeks persepsi rasuah turun ke kedudukan 59 pada 2024, menstabilkan harga barang kawalan, memberi bonus dan kenaikan gaji kakitangan awam, membawa pelabur luar, peningkatan nilai ringgit dan menyelesai masalah rakyat secara berperingkat).


8. Yang paling penting ialah nak selamatkan anak-anaknya daripada tindakan undang-undang. Percayalah, jika PMX tak persoalkan kekayaan anak-anaknya dia takkan bising macam sekarang.


Jangan percaya propaganda Tun M


Kesimpulannya, tak perlu percaya bulat-bulat cakap orang tua berumur 100 tahun itu.


Banyak yang tidak betul dan hanya propaganda murah untuk menutup kerosakan yang beliau lakukan. Zamannya sudah berlalu. Cukup-cukuplah.


Anggaplah dia hanya mengata diri sendiri: mengata dulang paku serpih!


 

Dr Bam Al-Haj merupakan penulis bebas dan ahli NeuroMarketing Strategist.

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page