Belanjawan Selangor 2025 akan menggariskan beberapa inisiatif khusus bagi memacu ekonomi serta menarik pelaburan ke negeri ini.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari menerusi hantaran di laman Facebooknya berkata, inisiatif khusus itu bagi menjamin kemakmuran ekonomi dapat dinikmati bersama.
"Berbaki kurang tiga minggu lagi sebelum pembentangan Belanjawan Selangor 2025, saya mengadakan perbincangan khusus untuk ucapan belanjawan nanti bersama UPEN (Unit Perancang Ekonomi Negeri) dan Perbendaharaan Selangor yang turut disertai Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Setia Haris Kasim.
"InshaAllah beberapa lagi inisiatif khusus bakal dibentang dalam Belanjawan Selangor 2025 bagi memacu ekonomi serta menarik pelaburan ke negeri ini agar kemakmuran ekonomi dapat dinikmati bersama," katanya.
Belanjawan Selangor 2025 akan dibentangkan pada 15 November ini bersekali dengan sidang DNS yang berlangsung sehingga 29 November.
Sebelum ini Amirudin memaklumkan, Belanjawan Selangor 2025 menggariskan beberapa cabaran baharu bagi meneruskan momentum negeri sebagai penyumbang ekonomi terbesar negara.
Melalui belanjawan itu, Kerajaan Negeri mahu mengimbangkan semua kerancakan pembangunan dengan pelbagai program kebajikan yang akan terus diperkasakan.
"Fokus perbincangan iaitu kemungkinan kita berdepan bencana atau krisis dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menjadi paksi kehidupan pintar rakyat," jelasnya.
Untuk rekod, Kerajaan Selangor melalui Belanjawan 2024 memperuntukkan RM2.53 bilion merangkumi RM1.33 bilion atau 52.6 peratus perbelanjaan mengurus dan RM1.2 bilion atau 47.4 peratus perbelanjaan pembangunan.
Belanjawan itu mengalami defisit berjumlah RM330 juta dengan mengambil kira jangkaan hasil negeri berjumlah RM2.2 bilion dan anggaran perbelanjaan RM2.53 bilion.
Comments