Belanjawan Sabah 2025 yang bertema "Sabah Makmur, Rakyat Sejahtera" diharap akan mampu memberi kemakmuran ekonomi kepada rakyat negeri itu.
Bagi Pengerusi AMANAH Sabah, Lahirul Latigu, pembentangan belanjawan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun minggu lalu dengan jumlah RM6.421 bilion, dijangka mampu memperbaiki jurang kehidupan dalam kalangan rakyat negeri itu.
"(Terutama) peruntukan RM358.5 juta untuk bantuan bulanan RM300 kepada golongan miskin tegar merupakan langkah terbaik dan penting untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat Sabah, khususnya golongan yang memerlukan perhatian segera.
"Ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap nasib rakyat yang terkesan dengan cabaran kos hidup, dan diharap dapat membantu mereka menjalani kehidupan yang lebih stabil," kata Lahirul dalam satu kenyataan.
Selain itu, kata beliau, peruntukan sebanyak RM250 juta untuk membina 3,000 unit rumah mampu milik merupakan langkah proaktif bagi mengatasi isu perumahan di Sabah.
Pembinaan rumah mampu milik itu merupakan satu keperluan mendesak, terutama bagi keluarga yang berpendapatan rendah, supaya mereka dapat memiliki tempat tinggal yang selesa dan terjamin.
"Belanjawan ini turut menumpukan kepada pembangunan luar bandar dengan peruntukan sebanyak RM214 juta. Ini merangkumi pembinaan dan penambahbaikan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan elektrik, dan air bersih," katanya.
Sementara itu, ujarnya, pemberian geran RM5,000 kepada peniaga kecil pula memperlihatkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh ekonomi komuniti.
Penjawat awam juga tidak dilupakan melalui pemberian bonus sebulan gaji dan diharapkan insentif berkenaan dapat meningkatkan lagi motivasi dan produktiviti mereka dalam memberi khidmat terbaik kepada rakyat.
Sektor pendidikan dan latihan kemahiran, katanya, mendapat tumpuan utama dengan peruntukan besar bakal membolehkan penduduk tempatan meningkatkan kemahiran, terutama dalam bidang teknikal dan vokasional yang penting bagi memperkukuh kebolehpasaran tenaga kerja dalam ekonomi yang semakin mencabar.
"Sektor pertanian menerima pelbagai inisiatif untuk membantu petani. Subsidi dan bantuan merupakan langkah positif untuk meningkatkan pengeluaran makanan tempatan dan meningkatkan pendapatan petani.
"AMANAH Sabah juga menyambut baik usaha Kerajaan Negeri melibatkan sektor swasta dalam inisiatif pembangunan. Ini adalah pendekatan strategik yang dapat memacu pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh melalui perkongsian pintar yang saling menguntungkan," katanya lagi.
Justeru AMANAH Sabah, kata Lahirul menyokong penuh semua inisiatif belanjawan dan yakin perancangan kewangan itu itu mampu membawa perubahan positif kepada rakyat dan memacu kemajuan negeri ke arah masa depan yang lebih makmur dan inklusif.
Comments