Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kerangka belanjawan dan pembangunan negara memberikan manfaat kepada golongan di peringkat akar umbi selain memacu pertumbuhan ekonomi.
Perdana Menteri berkata pembangunan negara perlulah seimbang dengan memastikan golongan memerlukan dapat disantuni.
"Apa makannya, rumahnya di mana, dan gajinya berapa...keluarga pemandu, keluarga penjaga yang paling daif.. ambil perhatian," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan (MoF) di Putrajaya hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menyarankan agar institusi seperti bank yang mencatat keuntungan besar menilai keadaan golongan termiskin yang bekerja.
Kata beliau ketika pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Negara semalam, pihaknya memberi penjelasan tentang peningkatan pertumbuhan yang lebih baik daripada unjuran dan kejayaan itu tidak menyebabkan jentera kerajaan terlalu selesa.
"Kita ini sebagai manusia, keupayaan itu sangat baik, tetapi kita kadang-kadang merasakan sudah terbaik," katanya.
Anwar turut mengingatkan golongan yang "berada" di atas agar tidak angkuh dengan golongan bawahan.
Dalam pada itu beliau turut menyarankan orang ramai mengambil pengajaran daripada video tular membabitkan penceramah agama Indonesia yang menghina penjual teh kerana jualannya tidak laku dalam satu majlis ilmu.
Anwar berkata seseorang tidak seharusnya mengabaikan golongan tidak berupaya.
"Jangan sesekali lupa apabila ada keupayaan di semua peringkat ada kelompok yang tidak berupaya menjenguk kita," katanya.
Beliau menyifatkan penghinaan itu sebagai satu contoh keangkuhan dan sombong itu bukan saja dalam kalangan orang yang tidak tahu agama tetapi orang yang beragama.
Terdahulu tular video membabitkan seorang pendakwah menghina seorang penjual teh ais semasa berceramah di wilayah Jawa Tengah, Indonesia, namun pendakwah itu kemudiannya dikatakan telah berkunjung ke rumah peniaga berkenaan dan memohon maaf.
Comments