Belanjawan 2025 yang bakal dibentangkan pada petang ini diharap memberi lebih peruntukan untuk kesejahteraan masyarakat di pedalaman Sarawak.
Menurut Senator Abun Sui Anyit, peruntukan tersebut amat penting bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk di pedalaman seiring dengan kemajuan pesat negara.
Hal itu, katanya telah diutarakan beliau sewaktu sesi taklimat Belanjawan 2025 bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru baru ini.
"Saya telah diberikan kesempatan untuk memberi cadangan. Oleh itu saya bawa pesanan daripada rakyat pedalaman Sarawak yang inginkan seperti Inisiatif Kemajuan Rakyat (IKR) dan Sejati Madani diteruskan.
"Perdana Menteri semasa merespons cadangan saya (berkata) akan meneruskannya dalam bajet 2025," katanya dalam kenyataan.
Justeru, Abun Sui berharap lebih banyak skim bantuan dan pembinaan insfrastruktur diperuntukkan ke kawasan pedalaman melalui belanjawan kali ini.
"Kita mengharapkan Belanjawan 2025 kali ini akan menumpukan kepada infrastruktur asas di pedalaman Sarawak selain pengurangan kos sara hidup rakyat.
"Sama-sama kita nantikan pembentangan Belanjawan 2025 pada hari Jumaat ini jam 4.00 petang," katanya lagi.
Comentarios