Kerajaan Selangor hari ini membentangkan Belanjawan 2025 berjumlah RM3 bilion dengan RM1.7 bilion atau 56.7% diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus manakala RM1.3 bilion (43.3%) bagi tujuan pembangunan.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari ketika membentangkan belanjawan itu di Dewan Negeri Selangor berkata peruntukan mengurus, perbelanjaan perkhidmatan dan bekalan merupakan komponen terbesar melibatkan 38.7% daripada jumlah keseluruhan peruntukan negeri.
"Perbelanjaan mengurus ini termasuk pelarasan kenaikan skim gaji penjawat awam, khidmat kawalan keselamatan dan kontrak penyelenggaraan yang masing-masing melibatkan 26 jabatan, elaun majlis pengurusan komuniti kampung, peruntukan bagi elaun jawatankuasa dan petugas masjid serta sewaan bangunan ibu pejabat dan sembilan buah Mahkamah Rendah Syariah," katanya.
Belanjawan bertemakan 'Selangor Dinamik: Cita Sempurna Malaysia Madani' itu bakal dilaksanakan melalui lima teras utama iaitu Kecerdasan Buatan dan Pemangkin Kemajuan Ekonomi Negeri; Mendukung Hasrat Alam Sekitar Mampan dan Infrastruktur Berkualiti; Memupuk Negeri Penyayang; Menjuarai Tadbir Urus Cekap dan Wibawa serta Membugar Ekonomi, Kebudayaan dan Pembangunan Generasi Muda.
Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua berkata peruntukan perbelanjaan pembangunan bagi 2025 meningkat RM100 juta atau 8.3% berbanding 2024 dengan tumpuan kepada sektor infrastruktur berbanding sosial.
"Walaupun sektor sosial bukan lagi tumpuan utama, peruntukan bagi tujuan pembangunan sosial berjumlah RM354.08 juta atau 27.24%, kekal sebagai antara agenda pembangunan utama kerajaan negeri.
"Penekanan kepada program kesihatan dan kebajikan warga emas masih diteruskan, sejajar dengan hasrat kerajaan negeri dalam menambah baik sistem perlindungan sosial yang merangkumi kebajikan, pendidikan dan pengukuhan ekonomi golongan sasar sebagai teras kesejahteraan rakyat," katanya.
Antara perkara menarik yang diumumkan ialah:
- Pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) 2024 sebanyak dua bulan kepada semua penjawat awam yang akan dibayar secara berperingkat. BKK pertama akan dibayar pada 30 Disember ini dan seterusnya pada 25 Mac 2025 sempena sambutan Aidilfitri.
- Lebih RM95 juta diperuntuk bagi memelihara dan mempertingkat jaringan jalan negeri pada tahun depan bagi membaik pulih 4,359km jalan negeri.
- Seramai 20,000 rakyat dijangka menerima khairat kematian berjumlah RM1,000 mulai Jun tahun depan.
- Skim Khairat Darul Ehsan melibatkan peruntukan RM20 juta itu dikhaskan kepada individu berusia 50 tahun ke atas serta golongan kurang upaya (OKU).
- Insentif Muassasah Haji tahun ini yang dinaikkan kepada RM1,000 daripada RM500 sebelum ini diteruskan kepada jemaah tahun depan dengan peruntukan RM6 juta di bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.
*Kredit foto: Selangorkini
Comments