Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) memohon agar Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim meningkatkan peruntukan tahunan bagi agensi itu.
Pengerusi MITRA, P Prabakaran berkata, peruntukan tahunan RM100 juta sebelum ini belum mencukupi terutamanya dalam memperkasakan ekonomi golongan B40 di negara ini dan berharap jumlah itu dapat ditingkatkan kepada RM300 juta setahun.
"Komitmen sahaja sudah mengambil hampir separuh daripada peruntukan RM100 juta manakala baki RM50 juta itu tidak cukup untuk membawa perubahan atau transformasi dan meningkatkan ekuiti bagi komuniti India terutamanya dalam kalangan belia.
"Dengan peruntukan yang lebih besar, kita akan dapat melaksanakan lebih banyak program dan inisiatif yang akhirnya akan membawa perubahan dan pemerkasaan ekonomi secara ketara dalam komuniti ini," kata dipetik.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Batu menjelaskan, peruntukan tambahan RM300 juta merupakan cadangan pelbagai pemain industri komuniti India setelah sesi libat urus pembangunan sosio ekonomi komuniti India bagi Belanjawan 2025.
Kira-kira 100 pemimpin dan wakil komuniti India, katanya, telah menghadiri sesi berkenaan untuk memberi input mengenai kerangka Belanjawan 2025.
"Perbincangan kita fokus kepada bajet yang diperuntukkan dapat memperkukuh pelaksanaan inisiatif MITRA menaik taraf sekolah-sekolah bantuan kerajaan serta mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan untuk komuniti.
"MITRA akan bekerjasama dengan setiap agensi kerajaan bagi memastikan inisiatif sedia ada dapat disampaikan kepada komuniti India yang memerlukan," ujarnya.
Comments