Pelbagai insentif kewangan yang ditawarkan dalam Belanjawan 2025 dijangka mampu menarik lebih banyak pelaburan asing atau tempatan bagi meningkatkan ekonomi Malaysia.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, inisiatif itu diyakini bakal menyediakan lebih banyak peluang untuk kemajuan dalam negara.
Beliau turut mengakui, Belanjawan 2025 telah dirangka dengan baik apabila semua perkara dalam ekonomi disentuh dan pada masa sama, nasib rakyat turut diberi perhatian.
"Kalau kita lihat dari segi Ekonomi Madani, kita bukan saja nak tengok meningkatkan siling pendapatan negara tapi juga meningkatkan darjat rakyat, yang mana rakyat akan terpelihara.
"Walaupun kita juga akan teruskan reformasi fiskal namun kita juga ada fokus atau penyasaran ditumpukan kepada mereka yang betul-betul memerlukan pertolongan.
"Pada masa sama, fikir di masa depan, yang mana kita meletakkan balik pelaburan di dalam negara kepada perkara yang akan menjana ekonomi, meningkatkan tahap kemahiran yang ada dalam negara dan meningkatkan infrastruktur dalam negara.
"Ia adalah supaya pemberian balik kepada rakyat lebih elok lagi," katanya dipetik.
Amir berkata demikian pada sidang media selepas selesai pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat petang semalam.
Comments