Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyambut baik pengumuman peruntukan RM60 juta bagi agensi itu dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk aktiviti penguatkuasaan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, pihaknya akan memanfaatkan sepenuhnya peruntukan tersebut yang diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat semalan untuk mempertingkat usaha membenteras penyeludupan sekaligus membanteras ketirisan wang rakyat.
"Setiap sumber akan digunakan secara optimum dan berkesan demi memperkukuh kawalan dan keselamatan pintu masuk negara.
"Peruntukan yang diberikan turut menyuntik semangat warga JKDM untuk terus menggandakan usaha secara berterusan dalam meningkatkan kutipan hasil serta menangani ketirisan," katanya melalui kenyataan.
Terdahulu Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika pembentangan Belanjawan bertemakan 'Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera' memaklumkan, sejak 2022 hingga September 2024, KPDN dan JKDM berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dengan hasil rampasan mencecah hampir RM2 bilion.
Sementara itu sebagai usaha kerajaan untuk memecahkan penguasaan kartel dan penipuan bida, Anwar turut mengumumkan peruntukan RM27 juta kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) .
Comments