Belanjawan 2025 yang dibentang semalam dengan tumpuan utama untuk menjamin keselesaan rakyat merupakan polisi terbaik dari Kerajaan Madani.
Menurut Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, penekanan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pertumbuhan ekonomi mesti tidak boleh terlepas daripada tonggak utama, yakni menjamin keselesaan rakyat melalui pendidikan, perumahan dan kesihatan merupakan kaedah menunaikan janji perjuangan KEADILAN sejak lebih dua dekad lalu.
"Saya berpendapat belanjawan ini beracuan MADANI ala PMX, iaitu segala usaha pembangunan dan rangsangan seperti menaikkan siling (pendapatan) akan berteraskan kehidupan rakyat (menaikkan lantai)," katanya dalam catatan di Facebook.
Mengenai pertumbuhan ekonomi pula Chean Chung berpendapat Kerajaan Madani mempunyai fokus yang bijaksana apabila menekankan pelaburan yang bernilai tinggi dan mengasingkan industri masa depan dengan sektor yang makin terbenam.
"Dalam falsafah ekonomi, ini merupakan kerajaan memandu (facilitative state), berbeza dengan kerajaan Laissez-faire (tidak buat apa-apa) ataupun Kerajaan Kleptokrasi.
"Syarikat gergasi Multi National Corporation juga disarankan supaya mengetatkan rantaian bekalan mereka dengan pembekal tempatan, dan kedua-dua pihak akan menikmati pakej insentif cukai," ujarnya.
Selain itu, katanya polisi yang memberi impak besar kepada rakyat adalah memperkasa kesejahteraan penduduk melalui Program Residensi Rakyat (PRR).
"Kerajaan memperuntukkan hampir RM900 juta untuk pelaksanaan 48 PRR, selain RM200 juta untuk penyelenggaraan lif-lif usang
"Usaha Kerajaan untuk menangani isu malpemakanan sihat di kalangan anak-anak PPR Lembah Klang sebanyak RM5 juta juga sebenarnya selari dengan inisiatif yang saya jalankan di Petaling Jaya, menerusi Program Pemakanan Sihat dan Susu Percuma untuk kanak-kanak di perumahan kos rendah melalui penggunaan mesin layan diri (vending machine).
"Ianya dilaksanakan di bawah salah satu teras #PJLestari untuk menangani isu tumbesaran 22% kanak-kanak bawah umur 5 tahun yang terbantut," katanya.
Mengenai persekitaran kediaman rakyat yang lebih baik pula, Pengarah Komunikasi KEADILAN Malaysia itu merujuk contoh Projek Perumahan Rakyat di kawasannya yang mempunyai dana tersendiri bagi mewujudkan flat kediaman tercantik dan boleh diaplikasikan di kawasan PPR lain.
"Lihat sahaja contoh terkini PPR Lembah Subang 1 yang imejnya baru sahaja "dinaik taraf 5 bintang” oleh penduduk, kerana mendapat sokongan peruntukan oleh ThinkCity & K2K menerusi anjuran pertandingan kebersihan & keceriaan.
"Impaknya sangat positif. Saya yakin dapat diperkasakan lagi dengan adanya dorongan daripada pengumuman belanjawan tersebut," katanya lagi.
Comments