Seorang penyokong kerajaan menolak kritikan pembangkang bahawa Belanjawan 2025 tidak mempunyai 'pemetaan' yang jelas sedangkan belanjawan itu merupakan satu iltizam dalam menggerakkan reformasi bagi menjamin pertumbuhan negara.
Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syeh Noh berkata, pemulangan manfaat daripada penyasaran subdisi merupakan dasar yang jelas dan sudah ada rancangan untuk dilaksanakan.
"Jika dilihat dengan teliti premis asas Belanjawan 2025, ia dibina dengan iltizam menggerakkan reformasi untuk menjamin pertumbuhan, ini terang disebut malah berulang kali ditekankan.
"Belanjawan ini menyatakan hasrat rancangan untuk tahun hadapan ini, merupakan angka unjuran, kadang-kadang nak minta spesifik, ini bukan dalam bentuk ucapan tersebut," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di peringkat dasar pada siding Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, beliau juga tidak bersetuju dengan dakwaan bahawa pembangunan tidak dilaksanakan di kawasan pembangkang sebagaimana sering ditimbulkan sebelum ini.
"Naratif ini tidak benar kerana jelas dikatakan oleh Perdana Menteri bahawa projek tebatan banjir juga berlaku di kawasan pembangkang," katanya.
Jelas beliau, pihaknya percaya kerajaan melaksanakan dasar keterbukaan dan sebagai wakil rakyat mereka perlu membawa perkara baik untuk dibahaskan.
Selain itu kata beliau, dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu, ekonomi domestik dan bakat yang wujud di negara ini perlu dipastikan tidak dirosakkan.
"Adalah satu kerugian apabila wang peruntukan berbilion ringgit tidak dapat diuruskan dengan berhemah dan baik. Kita harus beringat strategi membangunkan negara tidak patut menjadi alasan untuk mundur dari segi moral," katanya.
Syed Ibrahim turut menyambut baik konsolidasi fiskal berkait peralihan manfaat penyasaran subsidi dan perluasan asas cukai progresif untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara.
"Saya cadangkan agar langkah ini diterjemahkan dalam satu laporan ringkas agar dapat difahami semua pihak dan menolak sentiment politik sempit," katanya lagi.
Comments