Oleh: Akmal Manaf
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin ekonomi negara berkembang kukuh pada tahun hadapan antara 4.5 hingga 5.5 peratus, didukung langkah dan strategi Belanjawan MADANI Ketiga 2025.
"Dengan itu Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjur lebih kukuh antara 4.8 peratus hingga 5.3 peratus pada tahun 2024 berbanding empat hingga lima peratus sebelumnya.
"Tahun depan kita yakin ekonomi berkembang, insyaAllah.. kukuh antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus didukung langkah strategi Belanjawan MADANI Ketiga 2025," katanya di Dewan Rakyat.
Belanjawan 2025 yang bertemakan 'Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera' adalah yang ketiga dibentangkan di bawah kerajaan MADANI pimpinan Anwar.
Belanjawan ini juga adalah yang terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang.
Perdana Menteri juga mengumumkan Belanjawan 2025 telah memperuntukkan sebanyak RM421 bilion.
Katanya, jumlah itu meliputi sekitar 20.1% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), dengan RM335 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus dan RM86 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, tiga sektor yang menjadi penerima terbesar Belanjawan ialah pendidikan (RM15 bilion), diikuti keselamatan (RM12.3 bilion), dan kesihatan (RM6.9 bilion).
Anwar berkata demikian ketika membentangkan dokumen berkenaan di Dewan Rakyat, sebentar tadi.
留言