Oleh: Abdullah Zaid
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membentangkan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober ini.
Perkara itu dimaklumkan Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya petang ini.
Menurutnya, Perdana Menteri mengarahkan semua Menteri mengadakan sesi dialog belanjawan untuk kementerian masing-masing membabitkan pemegang taruh.
"Insha-Allah, sidang Parlimen bermula 14 Oktober dan Belanjawan Madani 2025 pula akan dibentangkan pada 18 Oktober.
"Hasrat Perdana Menteri adalah untuk mendapatkan maklum balas daripada industri serta pemegang taruh mengenai sama ada dasar, insentif, program, pelaksanaan, kekangan dan cabaran.
"Ini akan dibawa semula untuk penelitian di peringkat Kementerian Kewangan agar dapat disesuaikan dengan dokumen atau Belanjawan MADANI 2025 nanti," katanya pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri.
Terdahulu, Perdana Menteri dalam Majlis Libat Urus Belanjawan 2025 berkata Belanjawan Madani akan terus menumpukan aspek penanda aras disasarkan dalam kerangka Ekonomi Madani termasuk membolehkan Malaysia menjadi ekonomi utama di Asia Tenggara.
Oleh itu, katanya kerajaan perlu segera memikirkan kaedah untuk merancakkan lagi usaha kegiatan ekonomi termasuk menstruktur semula ekonomi agar negara dapat mengecapi pendapatan lebih tinggi.
Comentarios