Skuad KEADILAN Malaysia menyokong penuh keputusan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli-ahli Parlimen PH untuk tidak menggagalkan undian Peringkat Dasar Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 pada 26 November lalu.
Menurut satu kenyataan, Skuad KEADILAN percaya tindakan itu diputuskan oleh Datuk Seri Anwar sebagai satu strategi jangka panjang dan tidak sebagaimana didakwa sesetengah pihak memperlihatkan kelemahan PH.
"Walaupun keputusan tersebut tidak menyenangkan pelbagai pihak dan menjadi punca kekecohan di peringkat pemimpin PH hingga ke akar umbi, namun melalui siri penerangan yang telah dilakukan, masyarakat kini faham dengan jelas bahawa keputusan Datuk Seri Anwar adalah di atas dasar kematangan politik, demi meletakkan keutamaan kepentingan rakyat dan negara.
"Kami di Skuad KEADILAN Malaysia mempunyai keyakinan tinggi terhadap kebijaksanaan, kejujuran, pengalaman dan kepimpinan Anwar serta ke semua pimpinan PH dalam menangani pembentangan Belanjawan 2021 ini.
"Kami tegas menyokong sepenuhnya tindakkan yang telah dan bakal diambil demi mengembalikan mandat rakyat dan menyelamatkan masa depan negara.
"Kami mendoakan seluruh saf kepimpinan PH dikurniakan kebijaksanaan, perpaduan dan kekuatan untuk menangani Belanjawan 2021 dengan jayanya," tulis kenyataan tersebut.
Pada 26 November lalu Belanjawan 2021 diluluskan pada peringkat undian dasar apabila PH tidak bersetuju menggagalkannya melalui undi belah bahagian. Belanjawan tersebut lulus melalui undi suara.
Comments