Oleh: Abdullah Zaid
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihati pihak tertentu memahami pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di peringkat sekolah.
Jelasnya, orang bukan Melayu seharusnya faham modul penghayatan agama itu hanya khusus murid Islam dan tiada paksaan sekiranya bukan Islam mahu mempelajarinya.
"Saya minta anak-anak Islam belajar 40 hadis, tetapi, jangan memaksa (murid) bukan Islam.
"Tanyalah dahulu, jangan marah dahulu. Saya harap mesej ini difahami," katanya ketika berucap diprogram Lestari Niaga@Kuala Lumpur melalui penstriman langsung laman rasmi Facebook Suara Keadilan.
Pada 19 Ogos lalu Kementerian Pendidikan (KPM) melancarkan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang bertujuan memupuk penghayatan hadis membabitkan sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) dan sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) melibat pelajar dan guru Islam seluruh negara.
Pelaksanaan modul bertujuan bagi memupuk semangat ihsan, kasih sayang dan memperkasakan kefahaman agama.
Namun, pelaksanaan modul itu dibantah oleh Parti Gerakan melalui Timbalan Presidennya Oh Tong Keong yang bersedia membawa isu ini ke mahkamah demi menjaga membela hak-hak orang bukan Islam dan undang-undang negara sekiranya perlu.
Comments