Malaysia terkenal sejak merdeka menjadi aliansi negara berkecuali dalam persaingan kuasa kuasa besar dunia dan telah menunjukkan kelantangan mengecam sebarang bentuk kekejaman ke atas negara lemah.
Bagi Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim, dalam perkembangan terkini membantu membangunkan semula wilayah Gaza, Palestin, Malaysia tidak mungkin berdiam diri dan akan terus menjadi yang pertama menghulurkan bantuan.
Katanya, kritikan bahawa Malaysia perlu membela rakyat daif terlebih dahulu sebelum membantu Palestin adalah ungkapan tidak bersahabat, seolah olah membiarkan rakyat yang ditindas menjadi mangsa kekejaman Israel.
"Saya terpanggil untuk menyanggah beberapa pandangan dangkal termasuk dari seorang mantan Menteri yang mendakwa Malaysia perlu lebih mengutamakan rakyat sendiri ketimbang nasib rakyat Palestin yang nun 7,600km jauh dari tanah air.
"Ternyata ia bukan sekadar hujah yang kurang cerdik, tetapi juga mencerminkan satu gejala kejahilan moral yang membimbangkan
"Adakah kita hanya perlu bersuara dan berjuang untuk keadilan jika ia berlaku dalam lingkungan sempadan negara sahaja? Jika itu logiknya, maka kita tidak sepatutnya mengutuk keras kezaliman apartheid di Afrika Selatan dahulu.
"Jika itu hujahnya, maka kita juga tidak perlu menghantar bantuan kemanusiaan ke Bosnia semasa pembantaian dahsyat di Srebrenica. Namun, sejarah membuktikan Malaysia tidak pernah menjadi sekadar penonton malah turun sama ke gelanggang menyusun sejarah," katanya dalam satu kenyataan.
Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia itu mengingatkan ketika dunia membisu dalam tragedi Bosnia, Malaysia tidak hanya sekadar bersolidariti tetapi menghantar pasukan pengaman, memberi bantuan ketenteraan kepada Bosnia dan menyumbang secara signifikan untuk membela rakyat yang dizalimi dan tertindas.
Katanya, jika pada era bekas Menteri terbabit masih berkuasa negara mampu bertindak dan punyai sikap keprihatinan yang tinggi, lantas mengapa sekarang kerajaan perlu ‘menjaga tepi kain sendiri’ dan mengabaikan tuntutan keadilan buat rakyat Palestin.
"Memetik pejuang anti-apartheid dan mantan Presiden Afrika Selatan Nelson Mandela, “Kita sedar betapa kebebasan kita tidak akan lengkap selagi rakyat Palestin terus dipijak”. Jika seorang pejuang anti-apartheid seperti Mandela mampu menggarap persoalan keadilan tidak mengenal sempadan, mengapa ada di kalangan kita yang terpekik dan terlolong menentang usaha murni ini?
"Pemikir dan intelektual Palestin Edward Said juga pernah menyebut “setiap penindasan yang tidak disanggah adalah keizinan untuk penindasan yang lebih dahsyat”," ujarnya.
Justeru Kamil sama sekali menolak hujah bahawa kerajaan perlu memperbaiki kemudahan awam yang daif terlebih dahulu sebelum memberi bantuan ke luar negara.
"Ada menggunakan alasan “kita perlu utamakan rakyat Malaysia dahulu.” Ini satu hujah yang sangat malas.
"Sejak bila menonjolkan kepedulian kepada Palestin bermakna kita menggadai dan mengabaikan kepentingan dan kebajikan rakyat sendiri? Adakah keupayaan untuk punyai sikap ihsan terbatas pada rakyat sendiri sahaja?
"Malaysia tidak boleh dan tidak akan menjadi penonton dalam sejarah. Kita telah lama menentang segala bentuk kezaliman dan penindasan, dan kita tidak akan berhenti hanya kerana ada segelintir gerombolan berasa “terlalu jauh” untuk peduli," katanya lagi.
Untuk rekod, kelmarin bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, inisiatif pembangunan semula Gaza sebelum dilakukan perlu mengambil kira beberapa perkara.
Katanya, binaan yang musnah dan bakal dibangunkan semula di atas hak milik yang belum dimuktamadkan, sehingga badan penghakiman atau keputusan antarabangsa yang relevan mengeluarkan keputusan jelas dan tidak dapat dibantah di mana usaha pembangunan semula mungkin akan menjadi sia-sia. Beliau juga mahu kerajaan mengutamakan pembinaan kemudahan awam yang daif di Malaysia terlebih dahulu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan kerajaan bercadang membangun kembali kemudahan sekolah, masjid dan hospital yang telah musnah di Palestin.
Comments