Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mahu pengendali Pusat Pemindahan Sementara (PPS) memastikan kualiti makanan terjamin bagi mengelakkan sebarang kes keracunan.
Bercakap kepada pemberita selepas melawat PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Kepala Batas pada Ahad beliau berkata, selain memastikan keselamatan makanan, pengawalan penularan penyakit bawaan banjir sepanjang tempoh bencana ini juga amat penting.
"Paling mustahak pastikan tiada kes keracunan makanan atau penyakit yang berkaitan dengan banjir.
"Selepas banjir, kemungkinan wabak denggi akan memerlukan pemantauan rapi. Buat masa ini, tiada kes penyakit berjangkit seperti leptospirosis (kencing tikus)," katanya dipetik.
Sementara itu sebagai mengulas situasi bencana ketika ini beliau menjelaskan, fasiliti kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) yang terjejas akibat banjir telah dipindahkan ke lokasi terdekat bagi memastikan perkhidmatan rawatan dapat diteruskan seperti biasa walaupun dalam situasi bencana.
Malah sepanjang tempoh bencana, petugas KKM di negeri yang tidak ditimpa musibah akan diarahkan membantu fasiliti yang memerlukan jika perlu.
"Apa-apa pun, yang paling penting, sesiapa yang memerlukan rawatan khusus akan dipindahkan, misalnya bagi rawatan hemodialisis," katanya.
Dalam pada itu Dr Dzulkefly memberi jaminan bekalan ubat-ubatan bagi merawat pesakit di kawasan teruk dilanda banjir mencukupi.
Jelasnya, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa memantau perkembangan semasa dan keperluan fasiliti yang diperlukan.
"Saya mendapat laporan yang hampir dengan masa sebenar kerana kita ada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) yang beroperasi hampir 24 jam, kemas kini. Jadi saya tahu keadaan di Kelantan adalan buruk, mudah-mudahan semuanya baik-baik saja," katanya.
Comments