Oleh: Akmal Manaf
Meskipun sudah setahun Gaza tenggelam dalam pertempuran berdarah, rakyat Malaysia tetap bersolidariti bagi menuntut pembebasan Palestin daripada kezaliman rejim Zionis.
Rasa simpati dan kecewa mendalam menyelubungi rakyat prihatin terhadap jenayah perang yang dilakukan Israel, sedangkan para pemimpin Barat juara demokrasi hanya mendiamkan diri.
Hal itu diungkap dalam ucapan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu sempena Himpunan Mega Rakyat Malaysia Bangkit Free Palestin hari ini, mengenang nasib malang ditanggung penduduk Gaza.
"Kita boleh bersembahyang secara aman di sini.. saudara kita tidak boleh solat Jumaat di Palestin dan masjid di Beirut (Lubnan) dibom.
"Kelmarin, mereka mengebom pula hospital di Gaza dan Beirut.
"Di mana lagi manusia nak menyelamatkan diri kalau tempat (dilindungi) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pun dibom, masjid dibom, hospital dibom?," soalnya dalam ucapan yang penuh bersemangat.
Terdahulu, kira-kira 500 peserta berkumpul di perkarangan Menara Tabung Haji, Jalan Tun Razak bagi menzahirkan solidariti terhadap rakyat Palestin yang dizalimi rejim Israel.
Kesemua mereka berhimpun menuju ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS) selepas solat Jumaat dalam program solidariti anjuran AMANAH itu.
Walaupun Ismail Haniyeh dan Hassan Nasrullah telah terbunuh syahid, Mohamad menyifatkan mereka kekal hidup di sisi Allah dan memanggil jiwa umat Islam untuk sama-sama membebaskan Masjidil al-Aqsa.
"Tapi jangan bimbang, mereka yang terlibat dalam perjuangan sama ada Hamas, Jihad Islam atau Hizbullah, Iran yang mendokongkannya, mereka tetap bekerjasama.
"Yang penting, Baitulmaqdis, Masjid al-Aqsa wajib dibebaskan dan rakyat Palestin dapat kembali ke tanah air mereka," katanya lagi.
Commentaires