Oleh: Dr Mohd Fauzi Fadzil
ULASAN: Parti Islam Se-Malaysia (Pas) Selangor telah melancarkan kempen ‘Bakti Demi Selangor’ bagi mengekalkan sokongan pengundi Melayu yang telah diraih dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu. Kempen tersebut juga digunakan oleh Pas Selangor untuk meningkatkan sokongan pengundi bukan Melayu sebagai persiapan berhadapan dengan PRU16 akan datang. Ketua Penerangan Pas Selangor, Zurk Ahmad menyatakan bahawa ‘Demi Selangor’ bermaksud Pas negeri komited untuk berbakti kepada Sultan Selangor, rakyat pelbagai kaum dan agama.
Berhadapan rintangan rumit
Kempen Pas Selangor ini dilihat berhadapan dengan beberapa masalah yang rumit terutama sekali melibatkan hubungan dengan institusi istana Selangor. Pas kini sudah terkait dengan tuduhan biadab terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melalui perbuatan tidak sopan yang ditonjolkan oleh Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas) dan Tan Sri Abdul Hadi Awang (Presiden Pas).
Sanusi sebelum ini mengaku salah dan memohon diampunkan baginda sultan atas kenyataannya mempertikaikan kewibawaan institusi kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besar. Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah turut menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan Hj Hadi yang secara tidak langsung mengaitkan titah ucapan baginda dengan sikap Raja-Raja yang perlu berwawasan kepada kehidupan akhirat dan tidak mengejar kepentingan dunia semata-mata.
Imej Pas ultra Melayu
Kempen ‘Bakti Demi Selangor’ juga sukar untuk menangkap sokongan rakyat pelbagai kaum dan agama, imej Pas yang kini sangat terkait dengan parti politik ultra-Melayu dilihat tidak meraikan kepelbagaian masyarakat majmuk di Selangor. Kejumudan Pas dapat dilihat semasa menghadapi isu stoking kalimah Allah yang dijual di KK Mart. Isu tersebut dikaitkan oleh Pas dengan agenda halus kelompok cauvanis yang mahu menormalisasikan penghinaan ke atas Islam sehingga membawa kepada kejadian cawangan KK Mart dibaling bom petrol.
Pas Selangor juga dilihat sukar menambat hati rakyat bukan Melayu di Selangor apabila terlalu ekstrim dalam memainkan isu pencalonan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai tapak warisan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Pas Selangor gagal melihat usaha Kerajaan Selangor yang berjaya mewartakan kawasan kampung-kampung Melayu yang digazet di bawah Geopark kebangsaan dan seterusnya menjadikannya warisan UNESCO.
Isu 3R ditentang rakyat
Sehingga kini kempen Pas Selangor dalam memenangi hati rakyat banyak berkisar dalam isu 3R, mereka sedar bahawa modal yang dimainkan itu tidak akan mampu membawa mereka untuk menawan pentadbiran Kerajaan Negeri memandangkan keunikan dan kemajmukan yang wujud di negeri bertuah tersebut.
Kini Pas Selangor cuba mengubah rentak kempen dengan menumpukan usaha berbakti kepada rakyat dan negeri Selangor. Berbanding dengan pentadbiran Datuk Seri Amirudin Shari, Pas Selangor tidak dapat membawa sebarang dasar atau perancangan untuk menandingi Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang kini sedang berlangsung.
Kerajaan Madani Selangor tidak hanya berjanji malah dalam proses untuk melaksanakan 282 projek, program dan inisiatif berimpak tinggi di bawah RS-1. Hasilnya setakat hari ini dapat dilihat ekonomi Negeri Selangor diunjurkan tumbuh lebih pantas pada tahun 2024 dengan kadar 5.2% berbanding tahun 2023 pada kadar 4.1%.
Pas Selangor seperti tidak berpijak dibumi yang nyata apabila melancarkan ‘Bakti Demi Selangor’. Seharusnya mereka cuba mencari jalan menjadi pembangkang yang berkesan dalam usaha mendapatkan keyakinan rakyat di samping melunturkan label ekstrim yang kini membebankan mereka.
______________________________________________________________________________
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan Selangor
Comments