
Kerajaan Negeri Sembilan akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga tempatan yang didapati menyewakan tapak bazar mereka kepada warga asing, termasuk yang mengambil pekerja asing.
Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri J Arul Kumar berkata, Kerajaan Negeri tidak mengeluarkan lesen kepada warga asing untuk berniaga di mana-mana tempat sama ada di pasar malam atau bazar Ramadan.
"Tapak bazar Ramadan adalah untuk peniaga tempatan mendapatkan sumber pendapatan tambahan, dan tidak harus dijadikan ‘untung atas angin’ dengan memberi sewaan kepada orang lain.
"Jika kita dapati ada peniaga tempatan cuba melaksanakan 'Ali Baba' sewakan tapak bazar kepada warga asing, mereka akan dikenakan tindakan tegas dan disenarai hitam untuk tahun hadapan," katanya dipetik.
Beliau berkata begitu sebagai maklum balas terhadap beberapa penganjur tahun lepas yang membenarkan warga asing berniaga di bazar Ramadan.
Sehubungan itu tegasnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu akan melakukan penguatkuasaan di bazar Ramadan di Negeri Sembilan bagi memastikan tiada pekerja dan peniaga warga asing berniaga di tapak tersebut.
Comments