Oleh: Akmal Manaf
Mantan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad merayu kepada kerajaan agar memberikan pampasan yang adil kepada penduduk di Kampung Sungai Baru, Kampung Bharu.
Menerusi satu kenyataan, Khalid turut mengambil contoh kes membabitkan bayaran pampasan kepada penduduk Taman Desa yang terjejas selepas sebahagian tanah mereka digunakan bagi membina jalan.
Ujarnya, laporan berkenaan menyebut bahawa perkara itu berlaku akibat kesilapan pemetaan pihak pemaju yang menyebabkan tanah dimiliki beberapa penduduk digunakan untuk membina jalan, dan kerana itu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membayar pampasan kepada pemilik-pemilik yang terkesan.
"Mengikut laporan tersebut, salah seorang dari pemilik akan menerima pampasan sebanyak RM950,000 untuk tanahnya seluas 1,009 kaki persegi.
"Ini adalah bersamaan dengan RM941.53 untuk setiap kaki persegi. Harap maklum, bahawa ini adalah untuk tanah di Taman Desa yang semestinya tidak setinggi nilainya berbanding tanah berhampiran KLCC, seperti tanah Kampung Sungai Baru.
"Namun demikian, tanah di Kampung Sungai Baru dibayar pampasan hanya separuh daripada itu, iaitu dalam RM450 sekaki persegi," katanya.
Justeru, Khalid yang juga Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan, memohon pihak kerajaan memikirkan semula nasib yang menimpa sebahagian penduduk Kampung Sungai Baru yang sepatutnya mendapat pampasan lebih wajar berbanding apa diterima sekarang.
Dalam kenyataan itu, Khalid turut menzahirkan keyakinan beliau terhadap Kerajaan MADANI yang berpaksikan prinsip keadilan dan keprihatinan, turut sama berhasrat memberikan pampasan yang adil kepada penduduk.
Katanya, kes Taman Desa adalah bukti jelas bahawa tuntutan pemilik untuk pampasan sebanyak RM950 sekaki persegi adalah adil, wajar, munasabah dan ia berdasarkan pernilaian semasa bukan 'harga masa depan'.
"Permintaan pemilik adalah sangat munasabah memandangkan ada penilai swasta yang meletakkan nilai tanah mereka setinggi RM1,500 sehingga 2,000 sekaki persegi.
"Sekiranya pampasan yang adil dan wajar diberikan, sudah pasti tidak akan ada lagi mana-mana pihak yang akan merungut dan mendakwa mereka dizalimi.
"Ini akan menghalang pihak-pihak yang berkepentingan mengambil kesempatan untuk mengeruhkan hubungan kerajaan dengan rakyat.
"Dalam kes ini, akan ada yang mendakwa kerajaan memberi pampasan yang baik dan adil kepada bukan Melayu tetapi dengan orang Melayu, pampasan diberi adalah sangat rendah dan tidak adil," katanya lagi.
Laporan media sebelum ini menyebut bahawa isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru membabitkan 67 unit rumah teres dan 14 blok pangsapuri dikenali sebagai Pangsapuri Sungai Baru dengan proses pengambilan tanah bermula sejak 2016.
Sesetengah penduduk terutama penghuni rumah teres tidak bersetuju dengan kadar pampasan RM400 kaki persegi ditetapkan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWKL).
Comments