Bariqul Zaman pertimbang bertanding Majlis Pimpinan Pusat AMK
- Suara Keadilan
- 4 days ago
- 1 min read
Updated: 3 days ago

Anak muda yang sedang meningkat naik dalam dunia korporat serta mempunyai pengalaman luas dalam Angkatan Muda Keadilan, Bariqul Zaman Batharul Zaman mempertimbangkan untuk bertanding jawatan Ahli Majlis Pimpinan Pusat AMK Malaysia pada Pemilihan KEADILAN 2025.
Menurut satu kenyataan, Bariqul Zaman mengambil keputusan itu sebagai langkah untuk meneruskan khidmatnya bagi memperkukuh agenda dan visi AMK ke peringkat pusat.
"Sebagai seorang yang telah aktif dalam arena politik dan sosial, Bariqul mempunyai pengalaman luas dan pelbagai penglibatan dalam parti.
"Beliau pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Biro Mobilisasi dan Sukarelawan AMK Pusat, serta Exco Angkatan Muda Keadilan Selangor.
"Beliau juga merupakan Ketua Angkatan Muda Keadilan Sungai Buloh yang menunjukkan kemampuan kepimpinannya di peringkat akar umbi," kata kenyataan berkenaan.
Tambah kenyataan itu, Bariqul Zaman turut menyerlah dalam aktiviti sosial. Beliau merupakan Presiden Dewan Usahawan Malaysia sejak April 2018 dan Timbalan Pengerusi Pertubuhan Gagasan Shariffuddin.
Di samping itu, beliau juga telah berkhidmat sebagai Koordinator SUKA DUN Kota Damansara di bawah Kerajaan Negeri Selangor sejak 2021.
"Bariqul Zaman telah menempatkan diri dalam pelbagai pertubuhan dan organisasi seperti Penggerak Belia Selangor (PeBS), World Assembly of Muslim Youth (WAMY) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang menunjukkan komitmennya terhadap pembangunan belia serta masyarakat secara menyeluruh," katanya.
Bariqul dalam persaingan kali ini menyokong Kamil Munim sebagai Calon Ketua AMK Malaysia kerana yakin terhadap kredibiliti dan pengalaman Timbalan Ketua AMK Malaysia itu.
Beliau percaya dengan sokongan padu ahli-ahli AMK, agenda perubahan dan reformasi dalam negara akan dapat dicapai dengan lebih mudah.
Bariqul Zaman berharap dapat terus berkhidmat demi kebaikan masyarakat dan memastikan suara anak muda diwakili dengan baik di peringkat pusat.
コメント