Nampaknya Perikatan Nasional (PN) benar-benar terdesak mahu mendapatkan majoriti dengan cuba mempengaruhi Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) untuk keluar daripada parti masing-masing.
Paling terbaru, Ahli Parlimen Padang Serai, M. Karupaiya mendedahkan beliau juga mendapat tawaran daripada seorang menteri kerajaan pusat.
"Saya terima mesej daripada dia, dia mahu jumpa saya. Saya beritahu, kita boleh berkawan tapi saya tak sanggup nak mengkhianati parti saya dalam apa jua keadaan. Saya setia bersama PKR sejak hari pertama lagi.
"Saya dapat mesej daripada dia lagi. Dia mahu jumpa di Kuala Lumpur. Saya tak balas mesej dia, saya tak mahu jumpa dia," katanya seperti dipetik dalam laporan The Star.
Selepas ADUN Sidam, Dr Robert Ling Kui Ee dan ADUN Lunas, Azman Nasrudin umum keluar KEADILAN untuk membentuk kerajaan PN di Kedah, terdapat beberapa lagi pemimpin didakwa kononnya bercadang untuk keluar parti, termasuk Karupaiya.
Namun Karupaiya menegaskan, beliau tetap setia bersama KEADILAN.
"Keutamaan saya ketika ini adalah tugas saya menjaga kawasan Parlimen saya. Dengan wabak Covid-19, saya perlu memastikan rakyat mempunyai bekalan makanan yang mencukupi terutamanya ketika musim perayaan.
"Sebagai orang tentera, saya pasti semua orang tahu saya tidak boleh dibeli. Saya orang yang setia dan saya akan bersara dalam PKR bila masanya tiba nanti," katanya.
Comments