Oleh: Abdullah Zaid
Peruntukan bantuan tunai sehingga RM10 bilion melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) tahun 2024 merupakan paling tinggi dalam sejarah negara membuktikan Kerajaan Perpaduan prihatin kepada penderitaan rakyat.
Menurut Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Selangor, Noor Atillah Abdullah Sani, pemberian paling tinggi itu seharusnya menafikan segala cakap-cakap pembangkang yang kerap menuduh kerajaan zalim, sebaliknya perlu mengakui fakta sebenar jumlah yang telah dibelanjakan kerajaan memperbaiki kehidupan golongan B40.
"Berdasarkan data Belanjawan 2024, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) RM10 bilion, lebih tinggi daripada bantuan tunai ketika era Perikatan Nasional (PN) yang hanya RM6.5 bilion.
"Ini jelas menunjukkan kesungguhan Perdana Menteri dalam menjaga kebajikan rakyat bahkan lebih baik daripada kerajaan sebelumnya," kata beliau ketika dihubungi Suara Keadilan.
Selain itu, katanya, program-program bagi meningkatkan pendapatan rakyat turut giat dilakukan kerajaan termasuk Inisiatif Pendapatan Rakyat yang diusahakan oleh Kementerian Ekonomi.
Hal sama tidak dilakukan oleh pembangkang PN ketika mereka mentadbir Malaysia pada 2020 - 2022.
"Tidak hanya subsidi, kerajaan juga turut berusaha menaikkan pendapatan rakyat dan ini dapat dibuktikan dengan pelbagai inisiatif yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan seperti Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).
"Kalau ini dikatakan sebagai zalim maka jelaskan makna zalim itu apa? Jangan hanya 'berwirit' di mulut tetapi pembangkang sendiri tidak tahu makna yang disebutkan.
"Mungkin susah untuk pembangkang mengakui usaha Kerajaan namun sebagai pembangkang mereka seharusnya belajar untuk menjadi pembangkang yang berilmu dan berhenti memainkan naratif boleh memecah belahkan rakyat," ujarnya.
Berdasarkan data, bantuan tunai kepada rakyat pada era Perdana Menteri (PM) Muhyiddin Yassin ialah RM 6.5 bilion (2021), PM Ismail Sabri Yaakob RM 7.8 bilion (2022), PM Datuk Seri Anwar Ibrahim RM8 bilion (2023) dan pada 2024 sebanyak RM10 bilion.
Ramai yang tk dpat bantuan sekarang ni..Yg prnh dpt mykasih pon tiba2 tak layak.. Tp keluarga da yang tiba2 dapat. Blh dia kata aku ahli.. Nama keadilan.. Adil ke tu