
Oleh: Akmal Manaf
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sentiasa komited dalam mengawal selia gerakan koperasi di negara ini.
Timbalan Menteri KUSKOP, Datuk Seri R Ramanan berkata, bagi mengelakkan koperasi mengalami masalah pengurusan kewangan, SKM telah mengambil beberapa langkah termasuk memberi bantuan berupa penyediaan garis panduan yang bersesuaian sebagai amalan terbaik dalam tatakelola dan pengoperasian aktiviti koperasi.
"Selain itu, langkah pencegahan (juga dibuat) bagi menjamin ahli koperasi agar tidak terjerumus dengan kerugian adalah melalui tindakan seperti anggota koperasi mempunyai kefahaman yang jelas mengenai aktiviti atau produk pelaburan yang diperkenalkan oleh koperasi dengan kelulusan SKM.
"Anggota koperasi akan merujuk kepada SKM bagi mendapatkan penjelasan sekiranya terdapat keraguan berkaitan aktiviti koperasi.
"Akhir sekali, SKM mengambil tindakan pencegahan dan intervensi ke atas aduan awam berkaitan aktiviti koperasi yang meragukan," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) yang bertanya apakah tindakan kementerian dalam mengawal koperasi yang bermasalah daripada sudut pengurusan kewangan dan langkah kawalan bagi menjamin ahli koperasi dan pelabur agar tidak terjerumus dengan kerugian dalam jumlah yang besar.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kerajaan menyediakan bantuan kewangan sebanyak RM3,000 kepada koperasi di Semenanjung Malaysia bagi pengurusan audit dan perakaunan.
Manakala ujarnya, sebanyak RM3,500 bagi koperasi di Sabah dan Sarawak, selain disediakan kursus bimbingan penyediaan akaun kepada koperasi kecil dan bermasalah.
Comments