
Rancangan himpunan besar-besaran membantah Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang dicadangkan Pemuda Pas dibantah pemimpin Pakatan Harapan.
Ahli Parlimen Simpang Pulai, Suhaizan Kaiat menerusi satu kenyataan pada Rabu menyifatkan rancangan itu sebagai membuktikan sikap pembangkang yang berfikiran sempit dan anti kepada pembangunan.
"Sikap dan pendirian Pas tidak selari dengan keperluan pembangunan bandar yang didiami oleh sebahagian besar rakyat negara ini.
"Pemuda Pas sepatutnya mencadangkan idea pembangunan bandar untuk keselesaan penduduk bukannya membangkitkan kebencian dengan fakta salah dan tersasar," katanya.
Akta PSB kini dalam proses semakan oleh Jabatan Peguam Negara sebelum dibawakan kepada Mesyuarat Jemaah Menteri. Ia dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen Julai ini.
Polimik timbul apabila pembangkang cuba memberi persepsi buruk dengan mendakwa PSB sebagai taktik halus untuk mengusir orang Melayu dan India miskin dari kawasan bandar.
Malah, Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Mohd Hafiz Sabri yang dipetik laporan media mendakwa, melalui akta tersebut penduduk bandar khususnya berpendapatan rendah akan terpaksa berpindah dan menyerahkan tanah mereka tanpa kerelaan kepada pemaju.
"Adalah tidak logik sama sekali untuk pemaju mengusir pemilik yang sah sesuka hati. Pemuda Pas sengaja menjaja fakta salah untuk menghasut rakyat menolak akta ini.
"Fakta yang tidak disebutkan oleh Pemuda Pas adalah melalui akta ini pemilik terlibat yang mempunyai hak terhadap rumah bakal menikmati hasil daripada pembangunan semula kawasan berkenaan.
"Mereka bakal menerima bentuk unit gantian di tapak yang sama secara percuma," katanya Suhaizan sambil menegaskan, tuduhan dilempar itu sebagai keterlaluan dan tidak berasas.
Tegasnya, Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan hak terhadap harta iaitu hak terhadap harta iaitu tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang.
"Selain itu, tiada undang-undang boleh memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang memadai," tambah Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor itu.
Sebagai rekod, akta tersebut diwujudkan antara lain bagi menangani risiko keusangan; kemerosotan infrastruktur kawasan bandar; dan kawasan atau bangunan yang menghadapi masalah sosial dan pengurusan komuniti terutamanya bagi hartanah berskim strata berbilang tingkat.
Ia dirangka untuk memastikan pembangunan semula dapat dilaksanakan secara adil terutama kepada pemilik sah.
"Pembaharuan semula bandar bukan satu agenda baharu di bawah Kerajaan Madani tetapi telah pun digerakkan sejak 2020 bawah pemerintahan kerajaan terdahulu semasa Pas berada dalam kerajaan.
"Jika tuduhan-tuduhan di atas adalah benar, mengapa Pemuda Pas tidak mengadakan himpunan membantah pada tahun 2020?" soal Suhaizan menerusi kenyataan itu.
Comments