
Oleh: Akmal Manaf
Tindakan Pemuda Pas merancang mengadakan perhimpunan bagi membantah cadangan kerajaan memperkenalkan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) mendapat kecaman Ahli Parlimen Batu Pahat.
Onn Abu Bakar mempersoalkan tindakan Pas itu yang seolah olah mahu penghuni rumah pangsa yang rata rata terdiri dari golongan B40 terus menginap di rumah usang dan tidak selamat kerana kononnya mahu mengekalkan hak milik kaum Melayu.
Sedangkan Akta PSB katanya, tidak mungkin mengusir kaum Melayu. Malah akta itu telah pun dirundingkan sejak 2012 lalu oleh silih berganti kerajaan termasuk pada pemerintahan PN (2020 - 2022) yang Pas turut berada di dalamnya.
''Persediaan undang-undang ini bukan (agenda) baharu.. tapi ianya telah dirunding sejak dari zaman mereka (Pas) memerintah lagi.
''Sebagai kerajaan, kita perlu bertanggungjawab untuk membela nasib rakyat.
''Pembelaan itu antaranya dari segi menaik taraf rumah satu bilik kepada tiga bilik, selain menaikkan nilai harga rumah,'' katanya ketika dihubungi Suara Keadilan, hari ini.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai rancangan Pas untuk mengadakan himpunan membantah RUU PSB.
Dalam pada itu, Onn yang juga Setiausaha Politik Presiden KEADILAN turut bersetuju bahawa pelaksanaan PSB mengambil kira kesan jangka panjang yang positif terhadap rakyat.
Pada 25 Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika di Dewan Rakyat berkata, penggubalan RUU PSB tidak akan mengenepikan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan, serta prinsip perundangan sedia ada.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut memberi jaminan bahawa RUU itu tidak akan memindahkan pemilik asal hartanah, selain komposisi etnik di kawasan perumahan dan status tanah sama ada rizab Melayu, milik kerajaan atau tetap akan terus dikekalkan.
Comentarios