Oleh: Abdullah Zaid
Bank Rakyat mengumumkan peruntukan RM50 juta menerusi pelancaran Skim Pembiayaan Bank Rakyat India Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i), hari ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata peruntukan untuk usahawan masyarakat India itu diwujudkan khusus bagi memperkasakan ekonomi kaum terbabit.
Katanya, usahawan yang layak boleh membuat pendaftaran di semua cawangan Bank Rakyat seluruh negara dengan tempoh kelulusan 14 hari bekerja.
"Saya mengharapkan agar komuniti India mengambil peluang untuk memperkasakan ekonomi kerana BRIEF-i menawarkan pelbagai kelebihan berbanding program pembiayaan yang lain.
"Selain itu saya juga ingin mengucapkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas kepercayaan ini bagi memperkasakan masyarakat India selaras dengan kerangka ekonomi Madani," katanya ketika sidang akhbar pelancaran BRIEF-i di Menara Berkembar Bank Rakyat, di sini hari ini.
Menurutnya, pembiayaan itu terbuka kepada semua usahawan kecil dan sederhana (PKS) bagi memohon pinjaman itu.
"Bagi usahawan mikro boleh memohon pinjaman selama lima tahun dengan had pembiayaan antara RM1,000 hingga RM50,000 dengan kadar pembiayaan 6.5%.
"Manakala bagi perusahaan kecil pembiayaan RM50 ribu hingga RM1 juta dengan kadar 7.25% selama tujuh tahun," ujarnya.
Dalam pada itu, pelancaran skim pembiayaan tersebut turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa yang juga Lembaga Pengarah Tekun Dr Gunaraj George dan ADUN Batu Uban, Kumaresan Aramugam.
Comments