
Kerajaan Pusat melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menyalurkan dana sebanyak RM50.61 juta untuk membantu mangsa banjir di Johor, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata dana itu melibatkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) berjumlah RM50 juta, RM500,000 untuk pengurusan pengoperasian bencana dan RM114,609 bagi penyelenggaraan pusat pemindahan sementara (PPS).
"Saya menzahirkan rasa simpati terhadap para penduduk yang terjejas akibat banjir di daerah Johor Bahru, Kluang, Kota Tinggi, Pontian dan Kulai. Saya berharap semua mangsa banjir terus diberi kekuatan dan kesabaran, apatah lagi dalam musim persiapan menyambut Aidilfitri," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pusat Kawalan Bencana Negara NADMA dalam laporan pada pukul 12 tengah hari ini merekodkan seramai 10,851 mangsa banjir yang ditempatkan di PPS di Johor.
Di Johor, seramai 8,289 anggota penyelamat bertugas dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat menyediakan 206 bot, 157 SUV/van, sembilan lori, 15 ambulans, dua pesawat udara dan satu dron untuk operasi banjir.
"NADMA juga telah mengeluarkan Notis Kesiapsiagaan Operasi Bencana pada 18,19 dan 21 Mac 2025 kepada Jawatankuasa Pengurusan Negeri dan Daerah apabila Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan," katanya.
Ahmad Zahid berkata negara kini melalui fasa peralihan monsun yang boleh menggalakkan pembentukan awan ribut petir dan mengakibatkan kejadian hujan lebat berserta angin kencang dalam tempoh masa singkat.
"Apa yang membimbangkan kita ialah fenomena ini boleh menyebabkan banjir kilat dan kerosakan pada struktur yang tidak kukuh," katanya.
Comments