Banjir yang semakin memburuk di Terengganu sejak dua hari lalu sewajarnya diuruskan dengan baik oleh Menteri Besar (MB) Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Sebaliknya Dr Samsuri didapati menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2024 di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam semalam yang membuat warga net, khususnya di Terengganu tidak berpuas hati dengan tindakannya.
Menurut Setiausaha Pertubuhan Pendidikan Intelek Warga Terengganu, Ahmad Nadhir Yob, sikap MB Terengganu itu tidak sama seperti MB Selangor pada hari pertama dan kedua banjir besar melanda negeri itu pada Disember 2021 lalu yang mana MB Datuk Seri Amirudin Shari turut sama menyelamatkan mangsa banjir yang terperangkan di rumah pangsa.
"MB (Terengganu) sibuk bergambar dengan hadir persidangan Parti Bunga di Kuala Lumpur.
"Beliau hadir di persidangan yang sepatutnya beliau tidak perlu pun kerana bukan ahli Parti Bunga.
"MB Kelantan pun tak hadir persidangan tersebut kerana beliau faham situasi yang sedang melanda rakyat di negerinya yang memerlukan beliau sentiasa berada bersama rakyat," kata Nadhir dalam satu kenyataan.
Lebih mengecewakan, kata beliau, MB Samsuri tidak menyambut kehadiran Timbalan Perdana Menteri (TPM) 1 Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang melawat mangsa banjir di Terengganu semalam.
Sepatutnya, kata Nadhir, MB adalah orang pertama yang menyambut Zahid dan melaporkan keadaan terkini serta meminta disegerakan bantuan kepada rakyat kerana Dr Zahid mengendalikan agensi yang menangani bencana alam.
"TPM Datuk Seri Zahid datang ke Terengganu melawat dan meninjau keadaan banjir yang berlaku. MB Samsuri sebagai Ketua Kerajaan Negeri sepatutnya bersama-sama TPM meninjau mangsa-mangsa banjir.
"Inilah tahap 'kecaknaan dan keprihatinan' MB pada rakyat," sinisnya.
Untuk rekod, jumlah mangsa banjir terus meningkat di Terengganu kepada 41,409 orang malam ini berbanding 39,954 orang sebelah petang, dan Besut adalah daerah paling terjejas dengan 15,984 orang daripada 4,260 keluarga ditempatkan di 121 PPS.
Mangsa di Hulu Terengganu pula seramai 6,652 orang di 62 PPS; Setiu (6,470 orang, 50 PPS); Dungun (5,776 orang, 41 PPS); Kuala Terengganu (2,243 orang, lapan PPS); Kemaman (2,277 orang, 14 PPS); Kuala Nerus (1,214 mangsa, tujuh PPS); dan Marang (793 orang, lapan PPS).
Comments