Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menganggarkan kerugian sektor agromakanan negara akibat banjir baru-baru ini melebihi RM177 juta.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kemusnahan kawasan pertanian berdasarkan laporan dari 27 November hingga 12 Disember lalu meliputi kawasan seluas 28,256.49 hektar.
"Sektor paling terjejas ialah tanaman padi (lebih RM159 juta kerugian). Sektor perikanan dan ternakan turut terjejas.
"Jumlah kumpulan sasar yang terkesan sebanyak 15,456 orang. Maka kita akan berusaha membantu mereka yang terjejas mengikut skim sedia ada di bawah kementerian, selain daripada (bantuan melalui) agensi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan agensi lain," katanya dipetik.
Mohamad Sabu sebelumnya menyempurnakan Pelepasan Skuad Ihsan MADANI Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Skuad Ihsan MADANI KPKM digerakkan bagi membantu kumpulan sasar terutamanya di Kelantan, Terengganu dan Kedah bagi melakukan aktiviti pembersihan, mengagihkan bekalan makanan termasuk agihan makanan ternakan serta pemindahan ternakan ke penempatan sementara.
Sementara itu Mohamad berkata, kementeriannya menyediakan bantuan pasca banjir bagi membantu pesawah terjejas menerusi Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP).
Beliau berkata kadar pemberian bantuan adalah berdasarkan usia tanaman padi iaitu RM1,800 sehektar bagi usia padi melebihi 71 hingga 120 hari, manakala RM876 per hektar bagi peringkat tanaman satu hingga 70 hari dan jumlah bantuan terhad kepada kawasan musnah seluas tiga hektar sahaja bagi satu musim penanaman.
Comentários