Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan bekalan makanan bagi keperluan mangsa banjir di negeri-negeri terjejas banjir terutama Kedah mencukupi.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kementeriannya bertanggungjawab memastikan bekalan mencukupi supaya mangsa terjejas tidak terputus bekalan makanan.
KPDN juga sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa bagi menyalurkan bantuan segera melalui bank makanan di lokasi terkesan dan diselaraskan bilik operasi bencana banjir selain bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bertanggungjawab menyediakan bakul makanan kepada penduduk yang terjejas.
"SOP (prosedur operasi standard) sudah ada, kita telah kenal pasti awal dan lantik DDR (peruncit terpilih daerah) dan DDW (pemborong terpilih daerah) di sesuatu daerah.
"Kita buat persiapan hadapi monsun, cuma faktor perubahan cuaca yang nampaknya sudah agak sukar diramal.
"Jadi apabila berlakunya banjir kita akan aktifkan pendekatan tersebut untuk memastikan supaya rakyat kita tidak terputus bekalan," katanya dipetik.
Sementara itu Armizan berkata, semua KPDN negeri dan cawangan juga diarahkan untuk sentiasa peka dan bekerjasama dengan jawatankuasa pengurusan banjir di peringkat negeri dan daerah.
"Jadi kita membantu bersandarkan kepada maklum balas daripada agensi-agensi, sekiranya ada keperluan, maka kita akan usahakan bekalan tambahan," tambahnya.
Comentários