Banjir kilat: Kerajaan Selangor tambah senarai barang keperluan mangsa
- Suara Keadilan
- 4 days ago
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor akan menambah senarai barangan keperluan asas yang diperlukan mangsa banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di negeri itu semalam.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor Anfaal Saari dipetik laporan media berkata, usaha itu akan dilaksana menerusi inisiatif Wanita Berdaya Selangor (WBS).
"Ada mangsa yang keluar dari rumah dengan sehelai sepinggang tidak sempat bawa pakaian, lampin anak, susu anak dan sebagainya.
"Mereka akan ambil atau selamatkan barang penting seperti kenderaan, beberapa dokumen penting dan telefon pintar.
"Jadi, kami akan sediakan keperluan itu demi keselesaan para mangsa banjir ini," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Shah Alam pada Jumaat.
Anfaal menjelaskan, barangan yang bakal ditambah itu antaranya termasuk selipar, kain batik, tudung sarung, pakaian dalam.
Selain itu jelasnya ada permohonan berkaitan susu formula dan lampin pakai buang.
Hujan lebat sejak awal pagi semalam menyebabkan beberapa kawasan terutama di Shah Alam, Petaling dan Klang terjejas dengan limpahan air.
Setakat jam 6 petang semalam, seramai 985 mangsa daripada 285 keluarga telah berdaftar di enam buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sekitar Shah Alam dan Klang.
Sementara itu Anfaal memaklumkan, kira-kira 20 sukarelawan WBS dari DUN Batu Tiga digerakkan bagi membantu menguruskan PPS di kawasan berkenaan.
'Bantuan kaunseling dan sokongan psikososial turut disediakan kepada mangsa yang memerlukan," tambahnya.
Comments