Oleh: Abdullah Zaid
Isu banjir kilat yang kerap berlalu di ibu kota Kuala Kumpur baru-baru ini perlu ditangani secara serius untuk mengelakkan hal tersebut daripada berlaku lagi.
Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Wilayah Persekutuan, Muhammad Azha Salahuddin berkata, isu banjir kilat di ibu kota tidak boleh dibiarkan berterusan tanpa penyelesaian kerana Kuala Lumpur merupakan pusat tumpuan ekonomi negara.
"Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan juga agensi-agensi yang terlibat perlu melihat serius perkara ini kerana hampir setiap kali musim hujan atau berlakunya hujan lebat, masalah banjir kilat hampir pasti akan berlaku terutama di tengah-tengah ibu kota.
"Dalam keadaan perubahan iklim yang semakin tidak menentu dan ekstrem, sudah pasti taburan hujan juga boleh menjadi tinggi ditambah dengan pembangunan-pembangunan baharu dan sedia ada di Kuala Lumpur yang sedikit sebanyak mengganggu sistem penyaliran dan menyebabkan banjir kilat lebih kerap terjadi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru, sayap pemuda KEADILAN itu menyeru pihak DBKL dan agensi berkaitan agar mengambil langkah lebih proaktif untuk mengelakkan kejadian banjir daripada berulang.
"AMK Wilayah Persekutuan menyeru satu pelan tindakan yang lebih konkrit dari pihak DBKL dan agensi-agensi dengan penggunaan teknologi terkini yang bersesuaian untuk diimplimentasi dalam menyelesaikan masalah banjir kilat daripada terus memberi kerugian kepada individu, masyarakat dan ekonomi terutama di ibu kota," ujarnya lagi.
Semalam, tujuh lokasi dilanda banjir kilat susulan hujan lebat yang berterusan sekitar ibu negara.
Antara lokasi yang terlibat adalah Segambut Bypass, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Pahang, Jalan Genting-Klang, Jalan Dutamas, Jalan Kepong dan Jalan Kuching selain kawasan parkir berhampiran Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur yang ditenggelami air.
Lokasi WTC yang berhampiran dengan Sungai Gombak itu turut menempatkan Perhimpunan Agung UMNO 2024 yang berakhir pada Sabtu ini.
Comments