![](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_a13ef4207e8f434b83d261971df8a961~mv2.jpg/v1/fill/w_866,h_547,al_c,q_85,enc_avif,quality_auto/4449e2_a13ef4207e8f434b83d261971df8a961~mv2.jpg)
Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menggerakkan bantuan bank makanan ke negeri terjejas banjir termasuk Pahang dan Johor.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh ketika ditemui pemberita dalam satu program di Pahang semalam.
Menurut beliau, bantuan makanan sedia masak dan makanan kering itu telah digerakkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di kawasan teruk terjejas.
"Apabila ada permintaan untuk kawasan terkepung dan terputus hubungan akibat banjir, KPDN akan menggerakkan petugas masuk ke kawasan terjejas untuk membantu dengan bantuan bank makanan ini.
"Kita memahami kesulitan mangsa banjir yang terkepung banjir apabila mereka sukar untuk mendapatkan barang keperluan dalam tempoh sukar itu.
"Kita mendapat komitmen daripada rakan-rakan strategik untuk membantu membekalkan keperluan dan logistik," katanya.
Menurut beliau lagi, bank makanan secara percuma itu hasil sumbangan golongan perniagaan terutama rangkaian pasar raya besar dan bantuan dihulurkan pada kadar segera.
"Kita ada depoh bank makanan ini di Kajang, namun misalnya di Pahang ini, bila ada sumbangan, KPDN negeri akan segera edarkan ke kawasan terjejas tanpa perlu menunggu bekalan dari depoh," jelasnya.
Comments