Kerajaan Persekutuan menyalurkan bantuan kepada nelayan mangsa banjir di Pantai Timur sebanyak RM500 kepada setiap keluarga baru baru ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berkata bantuan berkenaan diberikan melalui Tabung Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
"Alhamdulillah pagi ini saya dapat bertemu dengan para nelayan yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
"Sumbangan bakul makanan kepada nelayan yang terjejas turut diberikan," katanya.
Mohamad berada di Kelantan bagi menghadiri Program Jiwa Murni LKIM berkata, pihaknya juga turut menyampaikan sumbangan ‘Back To School’ daripada Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT).
"Sumbangan itu diberikan kepada anak-anak nelayan dan juga kepada empat Persatuan Nelayan daripada Yayasan Nelayan Kebangsaan (YANEM) yang bernilai RM5,000 untuk setiap persatuan.
"Semoga dengan bantuan ini, dapat meringankan sedikit bebanan yang sedang ditanggung semua nelayan di negeri Pantai Timur serta dapat memberi perangsang dan semangat untuk kita berusaha meningkatkan hasil tangkapan ikan untuk mencukupkan keperluan negara," ujarnya lagi.
Comments