
Kementerian Pendidikan (KPM) memberikan kelonggaran kepada pelajar yang terjejas banjir untuk tidak memakai seragam untuk ke sekolah.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek sebagai mengulas situasi di Johor berkata, langkah itu bagi memastikan kehadiran pelajar ke sekolah dan dapat mengikuti sesi pembelajaran yang ditetapkan.
Turut diberi kelonggaran adalah kepada pelajar yang tidak terjejas banjir, namun tidak dapat menyediakan pakaian seragam sekolah kerana tidak kering berikutan situasi hujan berterusan.
"Sewaktu diadakan (beroperasinya) pusat pemindahan, ada anak-anak yang tidak mengenakan pakaian seragam kerana mereka tidak sempat bawa semasa diarah berpindah.
"Kita turut memberikan kelonggaran kepada pelajar yang tidak dapat sediakan pakaian seragam (basah) setelah hujan berterusan tetapi perlulah mengenakan pakaian yang sopan dan bersesuaian," katanya dipetik.
Fadhlina berkata begitu kepada pemberita semasa meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Kencana, Simpang Renggam di Kluang pada Jumaat.
Sementara itu menurutnya, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) juga telah diarahkan memantau guru-guru yang mengajar dan mereka yang tinggal di kawasan terjejas banjir supaya tindakan seterusnya dapat diambil.
Dipetik laporan, seramai 886 pelajar dilaporkan berada di pusat pemindahan, tujuh sekolah di Johor ditutup melibatkan daerah Johor Bahru (tiga) Kota Tinggi (tiga) dan Pasir Gudang (satu), manakala 47 sekolah dijadikan PPS.
Comments