top of page

Banjir di KL: Naik taraf longkang, sungai, segerakan konsep 'bandar span'



Kejadian banjir kilat yang berulang kali di Kuala Lumpur sejak beberapa tahun kebelakangan ini perlu ditangani segera.


Menurut Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan, Andre Lai Chen Heng, banjir kerap terjadi kerana sistem perparitan atau longkang di Kuala Lumpur dibina berasaskan pengukuran taburan hujan tiga atau empat dekad lalu yang tidak lagi realistik dengan perubahan iklim dunia atau climate change.


Katanya, Kementerian Wilayah sewajarnya mengenal pasti perancangan bandar terbaharu yang bersifat lebih kalis banjir dan berusaha menaik taraf secara besar besaran sistem longkang atau sungai di ibu kota.


"Saya menyeru kerajaan mengambil langkah segera menangani masalah banjir di ibu kota secepat mungkin. Kerajaan perlu membantu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menaik taraf sistem perparitan secara menyeluruh.


"Pada masa ini, kebanyakan kemudahan saliran di kota ini sudah lapuk dan tidak dapat menampung hujan lebat yang kerap. Kerajaan harus mengutamakan pembaikan dan pembesaran saluran saliran, pembetung dan sungai bagi memastikan sistem perparitan dapat beroperasi dengan lebih berkesan


"Selain itu, lebih banyak tangki bawah tanah dan kemudahan simpanan air hujan perlu dibina di kawasan yang terdedah kepada banjir untuk mengalihkan dan menyimpan air berlebihan semasa hujan lebat serta mengurangkan tekanan air di jalan dan kawasan perumahan," kata Andre Lai dalam satu kenyataan.


Beliau amat berharap hasil lawatan Menteri Wilayah, Dr Zaliha Mustafa ke kota perdagangan China, Shanghai baru baru ini terutama ke atas teknologi termaju mengelak banjir di sana dapat diguna pakai di Kuala Lumpur.


Katanya, konsep 'bandar span' di Shanghai amat baik dalam mencegah banjir di kawasan kota yang mempunyai aliran sungai.


"Saya menyokong promosi konsep bandar span di Kuala Lumpur yang boleh membantu mengukuhkan daya tahan bandar terhadap perubahan iklim melampau dan berpotensi untuk meminimumkan kesan bencana di kawasan berisiko banjir.


"Kuala Lumpur harus menyepadukan lebih banyak infrastruktur hijau ke dalam perancangan bandar masa depannya dan menambah baik kapasiti resapan air melalui langkah-langkah seperti meningkatkan ruang hijau, tumbuh-tumbuhan, taman hujan dan penghijauan menegak.


"Memulihkan dan melindungi saluran air semula jadi, tanah lembap, dan meningkatkan permukaan telap juga boleh mengurangkan kekerapan banjir.


"Konsep bandar span juga akan membantu mengurangkan risiko tanah runtuh serta penenggelaman," katanya.


Lebih daripada itu, kata Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju itu, cadangan kerajaan untuk mengemukakan "Undang-undang Pembaharuan Bandar" pada awal 2025 juga akan memberi kelebihan kepada usaha mencegah banjir.


Katanya, dengan menggalakkan peningkatan infrastruktur di kawasan bandar lama, terutama pengubahsuaian sistem perparitan, keupayaan mencegah banjir boleh dipertingkatkan dengan ketara.


"Kita perlu belajar daripada pengalaman antarabangsa mempromosikan pembinaan bandar pintar. Kuala Lumpur boleh belajar daripada "Pelan Air ABC" Singapura dan pembinaan bandar span Shanghai di China.


"Dengan menggabungkan teknologi pengurusan bandar pintar dan strategi pencegahan banjir moden Kuala Lumpur boleh memantau dan bertindak balas terhadap risiko banjir dengan lebih berkesan, memastikan infrastruktur bandar berdaya tahan menghadapi cabaran yang ditimbulkan oleh perubahan iklim," katanya.


Tambah Penasihat DBKL itu, penyelesaian masalah banjir bukan sahaja melibatkan pembaikan infrastruktur tetapi juga projek sistematik jangka panjang.


Pembangunan masa depan Kuala Lumpur, katanya, mesti berpaksikan kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat dengan penglibatan aktif kerajaan dan pemaju untuk mewujudkan ibu kota yang lebih sesuai didiami oleh warganya.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page