Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan MADANI diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim diyakini mampu mengimbangi dua tanggungjawab iaitu komitmen kepada pentadbiran dalam negara dan menunjukkan ihsan terhadap rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Zionis.
Pemimpin KEADILAN Pahang, Datuk Dr Suhaimi Ibrahim berpendapat, bukanlah sesuatu yang salah untuk Malaysia menghulurkan bantuan kepada rakyat Gaza dan pada masa sama kebajikan rakyat sendiri terus diutamakan.
Beliau menyifatkan, keterlibatan Malaysia dalam rancangan pembangunan semula melalui inisiatif Persidangan Kerjasama Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) merupakan sesuatu yang boleh dibanggakan kerana negara ini bukan sahaja menumpukan kepada 'diri sendiri' tetapi sanggup membantu rakyat di negara luar.
"Jika kita boleh lakukan kedua-duanya dengan bijak, kenapa perlu memilih? Ini bukan tentang mengabaikan isu domestik, tetapi tentang menjadi negara yang bertanggungjawab dan prihatin, baik di dalam mahupun di luar negara.
"Sebagai rakyat Malaysia, saya bangga kerana Perdana Menteri berani menongkah arus walaupun ada risikonya.
"Namun di sini, pentingnya kebijaksanaan dalam mengimbangi kepentingan negara dan ketegasan yang tidak berkompromi," katanya.
Bagaimanapun, Suhaimi mengakui memahami kebimbangan sesetengah pihak dalam isu pembinaan semula Gaza itu.
Namun katanya, masyarakat perlu berjiwa besar agar persepsi dan perspektif tidak mudah digoncang.
"Malaysia bukan sekadar negara kecil di Asia Tenggara, kita juga adalah Pengerusi ASEAN dan mempunyai suara dan peranan di pentas global.
"Menyokong Gaza bukan sekadar isu kemanusiaan, tetapi menunjukkan kepimpinan kita dalam mendukung keamanan dan keadilan antarabangsa," katanya lagi.
Dalam kenyataan sama, beliau turut menyentuh mengenai usaha bersama Kerajaan Jepun dan Malaysia untuk menubuh dan melancarkan dana melalui kegiatan Asia Timur.
Katanya, hal itu merupakan usaha rakyat dengan kerjasama sektor swasta yang melibatkan pembinaan sebuah sekolah, sebuah rumah sakit dan masjid.
"Yang penting, inisiatif itu tidak menggunakan dana awam. Ini juga bermakna, bantuan untuk Gaza tidak menjejaskan program kerajaan untuk rakyat Malaysia.
"Kita masih boleh membantu rakyat kita sambil menyumbang kepada usaha kemanusiaan global. Ini bukan soal pilih antara satu atau lain, tetapi tentang keseimbangan," jelas beliau.
Untuk rekod, semalam bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, inisiatif pembangunan semula Gaza merupakan satu perkara yang wajar dipuji namun beberapa perkara perlu diambil kira.
"Kemusnahan berlaku di atas tanah yang dipertikaikan, di mana hak milik belum dimuktamadkan sehingga badan penghakiman atau keputusan antarabangsa yang relevan mengeluarkan keputusan jelas dan tidak dapat dibantah di mana usaha pembangunan semula mungkin sia-sia.
"Perhatian perlu diberikan kepada negara kita, terutamanya kepada keadaan yang menyedihkan seperti masalah di sekolah dan hospital kerajaan luar bandar serta tempat beribadat," katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu media melaporkan, Malaysia bakal membina sebuah sekolah, hospital, dan masjid sebagai usaha permulaan dalam membantu membangunkan semula Gaza, sebagaimana kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Comments