Oleh: Noraini Nordin
SOROTAN PRK SG BAKAP: Tik tok..tik tok..Tik Tok..masa tidak boleh diundur lagi.
Tempoh akhir berkempen pada jam 12.00 tengah malam ini hanya tinggal beberapa jam saja lagi sebelum bermula pagi esok, semua pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap akan menunaikan tanggungjawab mereka.
Penulis yang berkampung di Sungai Bakap sebelum hari penamaan calon lagi turut tidak dapat menahan debaran menanti hari esok.
Jika penulis pun merasa debaran yang maha hebat pasti calon-calon yang bertanding juga begitu. Malah pastinya debaran tersebut lebih hebat lagi.
Seperti mana semua parti yang bertanding pasti mengharapkan kemenangan, begitu jugalah dengan calon Perpaduan.
Walaupun menyedari bukanlah tugas mudah untuk calon Perpaduan menawan Sungai Bakap namun semangat juang beliau tidak pernah luntur.
Semakin hari semakin mara dan semakin hari semakin membara.
Pimpinan, jentera bersemangat tinggi
Pemimpin-pemimpin PH, disertai pimpinan UMNO, semua bekerja keras dan bersemangat tinggi untuk memperolehi kemenangan.
Petugas dan jentera parti pun begitu, mereka tidak pernah berasa letih atau mengadu penat, melainkan terus bekerja ke arah kemenangan.
Walaupun PMX tidak turun berkempen, tetapi kata-kata semangatnya yang dititipkan melalui beberapa pemimpin yang turun ke Sungai Bakap menjadi pemberi semangat yang tiada nilainya kepada petugas yang berkampung di kawasan ini.
Selain itu, kehadiran isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang turut meluangkan sebagaian besar masa berkempen tidak kurang pentingnya dari segi menyuntik semangat merealisasikan usaha menjadi kejayaan.
Pimpinan KEADILAN termasuk Rafizi Ramli, Nurul Izzah Anwar, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Fadhlina Sidek (sekadar menyebut beberapa nama) dan ramai lagi silih berganti turut padang demi meraih undi untuk memenangkan calon Perpaduan iaitu Cikgu Joohari Ariffin.
Cikgu Joohari pula, jangan dikira padatnya jadual beliau ke sana sini menghadiri pelbagai program demi menyantuni pengundi.
Pendeknya, daripada segi usaha, Perpaduan telah melakukan sehabis baik dan semaksimum mungkin lantaran berpegang kepada hakikat - di mana ada usaha, di situ ada kejayaan. Lawan Tetap Lawan, lawan hingga menang.
Apatah lagi, PRK Sungai Bakap ini, meskipun keputusannya nanti tidak merubah kedudukan Kerajaan Negeri tetapi kemenangan calon Perpaduan amat penting untuk kestabilan dan keharmonian politik negara ini.
Kemenangan calon Perpaduan
Dengan kemenangan calon Perpaduan, setidak-tidaknya ia menjadi petunjuk Kerajaan Madani dan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri semakin diterima serta diyakini rakyat.
Apabila kerajaan dan Perdana Menteri dilihat semakin diterima, tiada lain yang ingin dilakukan oleh beliau melainkan terus bekerja dengan lebih baik membina negara ini.
Tambahan lagi, Sungai Bakap adalah tempat di mana Anwar dilahirkan, kemenangan begitu penting untuk digenggam.
Menjelang pengundian esok dan dengan segala usaha telah dilakukan, bersama basah peluh dan keringat yang banyak tumpah selama dua minggu ini, apa yang diharapkan ia akhirnya benar-benar membuahkan kejayaan.
Ayuh..bangkitlah pengundi-pengundi Sungai Bakap. Undilah calon no 1 - Cikgu Joohari Ariffin.
Jaga kesihatan. Selamat mengundi.
_________________________________________________________________________________
Penulis juga Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat
Comments