Oleh: Akmal Manaf
Pas telah dua penggal memerintah Terengganu namun bajet tahunannya masih gagal menjamin kepentingan semua rakyat, terutama dalam mewujudkan peluang pekerjaan bagi menyelesaikan masalah kemiskinan dan pengangguran dalam kalangan generasi muda.
Lebih malang lagi menurut Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Terengganu, bajet yang dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar semalam tidak mencatat pertambahan hasil negeri yang membanggakan.
Pentadbiran Pas, kata kenyataan MPN Terengganu, ternyata masih gagal menyelesaikan isu kebergantungan melampau negeri itu kepada royalti petroleum.
"Daripada jumlah anggaran hasil yang diunjurkan sebanyak RM1.997 bilion, jumlah hasil cukai hanya diunjurkan sebanyak Rm74.10 juta. Hasil bukan cukai pula sebanyak RM189.25 juta dan terimaan bukan hasil daripada royalti petroleum sebanyak RM1.634 bilion.
"Jika dibandingkan dengan Pahang yang mengujurkan jumlah hasil sebanyak RM1 bilion pada tahun 2025 tanpa mendapat apa-apa royalti petroleum, pentadbiran kerajaan negeri (Terengganu) telah gagal menambah hasil negeri walaupun sudah dua penggal (Pas) memerintah. Malah jumlah hasil cukai semakin menurun jika dibandingkan pada tahun sebelumnya," kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, MPN Terengganu mempersoalkan mengapakah kerajaan Pas memerlukan perbelanjaan mengurus negeri setinggi RM1.5 bilion yang setaraf dengan negeri negeri maju di Malaysia, sedangkan negeri 'wau bulan' itu masih tersenarai sebagai antara negeri miskin.
Katanya, Kerajaan Pas sepatutnya meningkatkan belanja pembangunan bagi membina insfrastruktur untuk menarik pelaburan masuk.
"Perbelanjaan pembangunan hanya sebanyak RM450 juta dan perbelanjaan mengurus dianggarkan lebih RM1.5 bilion. Mengapa jumlah belanja mengurus semakin tinggi dari tahun ke tahun?" soal kenyataan itu.
Justeru MPN Terengganu menyifatkan Bajet 2025 amat mengecewakan dan menggambarkan ekonomi Terengganu berada dalam keadaan tidak berkembang, malah pada masa hadapan bakal memberi kesan buruk kepada rakyat negeri itu jika dibiarkan berterusan.
Menurut kenyataan itu lagi, keputusan Kerajaan Persekutuan untuk beralih kepada tenaga hijau dan mengurangkan penggunaan bahan api fosil juga bakal mengurangkan jumlah penerimaan hasil daripada royalti petroleum pada tahun tahun akan datang.
"Oleh itu sikap terlalu bergantung pada hasil petroleum tanpa berusaha mengembangkan ekonomi negeri bagi menambah hasil adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan bukti kerajaan Pas Terengganu gagal mentadbir negeri.
"Pas Terengganu hanya dipenuhi retorik murahan yang tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat negeri," kata kenyataan itu lagi.
Semalam, Ahmad Samsuri membentangkan belanjawan negeri itu berjumlah RM1.887 bilion, sebanyak RM1.5 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus termasuk RM450 juta caruman kepada kumpulan wang pembangunan.
Comments