top of page

Badan penyelidik perlu tumpu inovasi, penemuan baharu - PM



Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu agensi kerajaan yang berasaskan dana awam supaya tidak 'terlanjur' dalam memberikan fokus terhadap pengurusan dan pelaksanaan programnya.


Perdana Menteri berkata badan tersebut tidak sepatutnya dijadikan seperti syarikat swasta yang hanya melihat kepentingan dari segi perniagaan, ahli lembaga dan pengurusan.


Beliau berkata, gesaan melalui laporan Ketua Audit Negara supaya pemantauan lebih teliti dan cermat dibuat akan dijadikan sebagai budaya baharu untuk badan berasaskan dana awam.


"Kita harus terima badan seperti MRANTI (Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation) dan seluruh keluarga Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) diasaskan dengan dana awam.


"Oleh demikian, dalam memastikan pelaksanaan program, kita perlu pastikan jangan ada keterlanjuran dalam memberikan fokus.


"Jangan jadikan badan-badan ini sebagai badan swasta yang kadang kala melihat kepentingan perniagaan sahaja dan ahli lembaga serta pengurusannya," katanya dipetik Berita Harian ketika berucap merasmikan Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY Summit) 2024 di Kuala Lumpur hari ini.


Hadir sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.


Perdana Menteri berkata, pihak pengurusan agensi berasaskan dana awam tidak sepatutnya terikat dengan prosedur dan kerangka tetap sebaliknya perlu bersedia membuka lembaran baharu dan meneroka bidang kepakaran.


"Pengurusan tidak seharusnya meneruskan kerja lama sahaja kerana ia bertentangan dengan semangat inovasi.


"Inovasi ini ibarat meneroka bidang disiplin dan penemuan baharu yang diistilahkan "menggapai langit", apa yang belum dicapai dengan penerokaan baharu," katanya.


PM meneliti inovasi terbaharu dalam pameran MCY Summit 2024

Dalam konteks inovasi, Perdana Menteri berkata, Malaysia perlu meletakkan sasaran baharu dengan bersaing bersama negara luar berbanding hanya memperbaiki prestasi lalu.


Katanya, negara tidak akan merekodkan pencapaian membanggakan jika sekadar memperbaiki prestasi lalu yang kadang-kala agak rendah pencapaiannya sebaliknya perlu melihat untuk setanding negara luar.


"Hebat kita bukan ketimbang tahun lalu atau 10 tahun lalu, sebaliknya hebat kita itu ketimbang kemajuan yang dicapai negara lain sama ada jiran atau negara lain.


"Kalau asyik memperbaiki prestasi lalu, kadang-kala tahapnya sangat rendah dan kita tidak akan mencapai apa yang membanggakan," katanya.


Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Kuala Lumpur berada dalam kelompok 30 ekosistem teratas dalam kategori ekosistem membangun menerusi Laporan Ekosistem Startup Global (GSER) 2024.


Katanya, MOSTI melaksanakan pelbagai inisiatif dan program untuk menyokong syarikat pemula tempatan dan memupuk persekitaran kondusif untuk pertumbuhan mereka.


"Ia antara lain merangkumi kemudahan pembiayaan, khidmat nasihat, akses pasaran dan lain-lain berkaitan," katanya.


Menurut GSER 2024, dari 1 Julai 2021 hingga 31 Disember lalu, ekosistem syarikat pemula Kuala Lumpur menjana nilai ekosistem lebih daripada RM220 bilion.


Anwar berkata, kedudukan Malaysia pada tangga 36 daripada 132 negara dalam laporan Global Innovation Index (GII) 2023, belum membanggakan dan perlu memperbaiki kedudukan pada masa akan datang.


Malaysia mengekalkan kedudukan tangga ke-36 daripada 132 negara dengan peningkatan skor keseluruhan kepada 40.9 berbanding 2022 iaitu 38.7.


Perdana Menteri berkata, pencapaian itu sekali gus menjadikan Malaysia negara kedua paling inovatif selepas China dalam kalangan 36 negara berpendapatan menengah tinggi.


"Di peringkat ASEAN, Malaysia kekal berada di tempat kedua yang dilaksanakan menerusi MRANTI, khususnya Sandbox Teknologi dan Inovasi Negara (NTIS) berjaya mengkomersialkan 32 produk atau penyelesaian dengan penjanaan hasil jualan sebanyak RM88.4juta.


"Selain itu, penubuhan 13 tapak 'sandbox' dan mewujudkan 62 rakan rangkaian pemajuan inovasi, hanya dalam tempoh tiga tahun ia diperkenalkan," katanya.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page