Sebuah badan pemikir dikenali sebagai Polity bakal diperkenal secara rasmi kepada umum pada satu majlis yang akan diadakan pada 17 Februari depan.
Pengerusi Inisiatif Penyelidikan Sosial dan Ekonomi (SERI), Nurul Izzah Anwar berkata, badan itu ditubuhkan untuk menjalankan penyelidikan berasaskan bukti, memperjuangkan dasar yang inklusif serta melaksanakan advokasi dan intervensi di lapangan yang mendorong perubahan bermakna.
Polity mendapat sokongan daripada pakar ekonomi, guaman, doktor dan pakar semikonduktor yang turut bekerjasama dalam mencapai visi organisasi itu yang memberikan penekanan terhadap wanita dan golongan belia.
"Kami bergerak bersama komuniti untuk memastikan mereka memahami hak mereka, dasar yang berkesan dan program yang dapat meningkatkan kualiti hidup mereka selain akan bekerjasama dengan media bagi mempromosikan dasar dan program kita nanti," katanya dipetik.
Sementara itu menurut Nurul Izzah, Polity bakal menjalankan program melibatkan wanita, keamanan dan keselamatan dengan mengundang pakar untuk berkongsi pengalaman mereka dalam membina masyarakat yang lebih selamat dan inklusif untuk golongan tersebut.
"Di Malaysia, kami fokus kepada keselamatan ekonomi, kerana kami percaya bahawa ekonomi yang stabil adalah asas untuk membesarkan anak-anak dalam persekitaran yang terjamin, situasi yang berlaku di Gaza harus menjadi pemangkin untuk kita memanfaatkan peluang yang ada," katanya yang juga Pengerusi Eksekutif Polity.
Beliau turut berkata, badan itu juga berhasrat untuk berkembang ke peringkat antarabangsa terutama di rantau Asia Tenggara.
Justeru beliau mengajak orang ramai menjadi sukarelawan dan pelatih bagi melaksanakan program yang dirancang Polity.
Comments