Oleh: Akmal Manaf
Badan dan masyarakat awam dunia serta Kerajaan Malaysia diseru meningkatkan bantahan terhadap kekejaman yang dilakukan rejim Israel di Palestin dan Lubnan.
Seruan itu dilakukan oleh Pengerusi Kaukus Palestin Parlimen Malaysia, Syed Ibrahim Syed Noh menerusi satu kenyataan hari ini.
Katanya, sudah terang lagi bersuluh bahawa tindakan rejim Israel itu tidak berperikemanusiaan, tidak menghormati dan melanggar nilai keamanan serta keadilan.
''Saya mengikuti rapat perkembangan serangan Israel yang berterusan ke atas Palestin dan terkini, negara Lubnan.
''Dampak kemusnahan dan keguguran nyawa sangat membimbangkan.
''Bermula dengan insiden siri letupan alat kelui seluruh Lubnan pada 17 dan 18 September lalu yang telah mengakibatkan lebih 20 nyawa terkorban serta ribuan lagi orang cedera termasuk orang awam, wanita dan kanak-kanak,'' katanya.
Dalam kenyataan sama, Syed Ibrahim yang juga merupakan Pengerusi Kaukus Parlimen Asia Tenggara untuk Pembebasan Palestin menyifatkan rejim Israel sebagai degil.
Katanya, kedegilan itu terbukti apabila Perdana Menterinya, Benjamin Nentanyahu menolak gesaan negara-negara G-7 termasuk Amerika Syarikat dan Perancis untuk sebuah pelan gencatan senjata selama 21 hari antara Israel dan Lubnan.
''Tambahan lagi, tindakan gila rejim Israel menyerang Lubnan juga ditentang wakil-wakil delegasi pelbagai negara yang bertindak keluar daripada dewan sewaktu sesi ucapan Benjamin Nentanyahu dalam Perhimpunan Agung Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.
''Krisis berdarah di Gaza kini melanda Lubnan. Dakwaan pincang rejim Israel bahawa serangan ini sebagai satu tindak balas menentang kumpulan Hizbullah adalah satu alasan kekejaman melanggar hak kebebasan dan keamanan rakyat Lubnan.
''Serangan-serangan udara yang dilancarkan oleh rejim Israel ini juga memaparkan kekejaman yang sama seperti apa yang berlaku di Gaza, Palestin,'' tempelak beliau lagi.
Terdahulu, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan sekurang-kurangnya 95 orang terbunuh manakala 172 mangsa mengalami kecederaan dalam serangan Israel di Lubnan sejak 24 jam lalu.
Serangan udara yang dilancarkan Israel di bandar Beirut pada awal pagi Isnin itu merupakan kali pertama berlaku dalam sempadan bandar ibu negara Lubnan sejak konflik Israel-Hamas tercetus pada 7 Oktober tahun lalu.
コメント