Oleh: Noraini Nordin
(Yang turut bersama dalam Lawatan Rasmi Delegasi KEADILAN ke Republik Rakyat China Sempena Sambutan Ulang Tahun ke 50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China)
BEIJING: Walaupun sedang bermusafir di negara China penulis tetap mencari ruang untuk membaca berita-berita dari Malaysia khasnya yang berkaitan PMX.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim nampaknya tidak pernah penat dalam berusaha untuk menjalin hubungan dua hala dengan pelbagai negara di dunia.
Setelah menamatkan lawatan rasmi tiga hari ke Qatar yang antara pencapaian gemilangnya berjaya meraih potensi eksport barangan dan perkhidmatan Malaysia bernilai RM700 juta ke negara tersebut, Anwar menyambung misi lawatan beliau ke negara Asia Tengah dengan tiga negara dijadikan tumpuan - Republik Kyrgyz, Kazakhstan dan Uzbekistan.
Menjalin hubungan dua hala lebih akrab
Lawatan ke tiga negara Asia Tengah ini lebih tertumpu kepada usaha menjalin hubungan dua hala yang lebih akrab serta meneroka peluang menang-menang dalam perniagaan demi manfaat bersama.
Selain diberi sambutan rasmi dan bertukar-tukar pandangan dengan pemimpin negara yang dilawatinya itu, program lain yang dihadiri Perdana Menteri ialah mengikuti acara kebudayaan serta melawat tempat-tempat bersejarah.
Lawatan ini penting dalam kerangka mengukuhkan hubungan dua hala serta menerima peluang-peluang baharu bagi kepentingan bersama.
Malaysia sebagai negara yang sedang berkembang serta mempunyai dasar luar berkecuali, menjalin hubungan dengan banyak negara adalah langkah terbaik
Dalam hal ini, Anwar amat gigih bukan saja memperkenalkan negara ke merata dunia tetapi juga menjaga hubungan persahabatan antara negara dan negara agar komuniti perniagaan dan rakyat Malaysia mendapat manfaatnya.
Kesan positif pengaruh PMX
Penulis sendiri amat terasa kesan positif pengaruh PMX di negara China.
Sepanjang menjadi tetamu di negara ini, para delegasi dari Parti Keadilan Rakyat mendapat layanan mesra serta amat dihargai.
Program yang diatur untuk para delegasi yang diketuai oleh Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar begitu bermanfaat dan mencakupi pelbagai bidang, khasnya bagi mencari nilai tambah kepada pengisian Malaysia Madani.
Objektif utama kunjungan rasmi 50 delegasi KEADILAN ke China ini dalam kerangka meningkatkan hubungan diplomatik antara Parti KEADILAN dengan negara China sempena memperingati Ulang Tahun ke-50 hubungan dua hala Malaysia - Republik Rakyat China.
Kepimpinan yang disegani
Nama PMX yang telah mengharum di China juga membuatkan penulis turut merasa bangga sepanjang berada di negara ini. Nama besar beliau amat disegani serta disenangi.
Untuk rekod PMX telah melakukan lawatan rasmi ke China selama empat hari bermula pada 30 Mac 2023 lalu.
Lawatan disifatkan sebagai salah satu lawatan yang besar dan istimewa dalam menunjukkan komitmen serta hubungan baik di antara ke dua-dua negara.
China menjadi negara pertama di Asia Timur yang dilawati oleh Anwar sejak mengetuai pentadbiran Kerajaan Perpaduan di Putrajaya.
______________________________________________________________________________
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat
Comments