![](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_dbac52575b6d4bb9b123c00b3bf1ec0f~mv2.jpg/v1/fill/w_700,h_466,al_c,q_80,enc_auto/4449e2_dbac52575b6d4bb9b123c00b3bf1ec0f~mv2.jpg)
Keselamatan anggota tentera Malaysia yang sedang bertugas di Republik Demokratik Congo (DRC) sentiasa dipantau berikutan konflik yang melanda di negara itu.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Markas Angkatan Bersama dalam satu kenyataan berkata kesemua lapan anggota terdiri Pegawai Staf Tentera (PST) dan Pegawai Pemerhati Tentera (PPT) yang bertugas kini berada dalam keadaan selamat.
"Mereka ditempatkan di Force HQ (FHQ) MONUSCO, Lava Site di Goma, serta di Team Site dengan semua PST dan PPT Malaysia berada dalam keadaan selamat dan sihat dengan situasi keseluruhan yang terkawal," kata kenyataan pada Jumaat.
Difahamkan anggota terbabit dalam Misi Stabilisasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Republik Demokratik Congo (MONUSCO).
MONUSCO ditubuhkan pada 1 Julai 2010, menggantikan Misi PBB di Congo (MONUC) yang beroperasi sejak 1999, bertujuan menstabilkan keadaan di DRC selepas konflik berpanjangan, melindungi orang awam, menyokong proses politik serta membantu pembinaan semula negara.
Dengan mandat yang lebih kukuh, MONUSCO dilengkapi pasukan intervensi khas untuk menangani kumpulan bersenjata dengan pertukaran pegawai dan anggota adalah mengikut perjawatan dalam tempoh masa setahun
Sementara itu Markas Angkatan Bersama menjelaskan konflik yang tercetus adalah berpunca daripada eksploitasi sumber mineral, ketegangan etnik, kelemahan kerajaan serta campur tangan pihak luar.
"Pemberontak M23 mendakwa perjuangan mereka berasaskan kepentingan politik dan keselamatan etnik Tutsi, dengan penglibatan Rwanda yang menambah ketegangan," kata kenyataan itu lagi.
Comments