
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Chang Lih Kang menyeru rakyat Malaysia menguasai teknologi kecerdasan buatan (AI) sebagai langkah persediaan menghadapi cabaran pekerjaan masa depan.
Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri satu acara di Georgetown pada Isnin beliau berkata, AI bukan lagi sekadar satu konsep masa hadapan, tetapi ia kini menjadi satu realiti yang sedang membentuk cara masyarakat bekerja, hidup dan berinteraksi pada masa kini.
"Pada ketika ini, mempelajari AI bukanlah pilihan, tetapi menjadi kemestian kerana kita sepatutnya belajar menguasai AI sehingga kita tidak akan digantikan oleh mereka yang tahu cara menggunakan AI.
"Jadi saya menyeru orang ramai supaya jangan bimbang atau takut dengan teknologi baharu," katanya dipetik.
Lih Kang sebelumnya merasmikan Peluncuran AI Horizon Membentuk Bakat Masa Depan Pulau Pinang di Pusat Konvensyen Setia SPICE.
Bakal berlangsung pada 8 dan 9 Ogos depan, AI Horizon merangkumi pelbagai program antaranya pameran serta demonstrasi aplikasi AI, automasi robotik, pertandingan AI Genius dan persidangan AI.
Sementara itu menurut Lih Kang, revolusi AI dijangka mengubah corak perniagaan, pentadbiran kerajaan serta pembangunan masyarakat dengan negara.
Walaupun kesedaran mengenai AI dalam kalangan rakyat dan pemain industri semakin meningkat, namun usaha berterusan tegasnya masih diperlukan untuk memastikan semua pihak memahami kepentingan teknologi tersebut.
Mengulas mengenai sasaran menjadikan Malaysia sebagai pusat AI serantau, Lih Kang berkata, Pelan Hala Tuju AI 2021-2025 yang berakhir tahun ini bertujuan membangunkan ekosistem inovasi AI melalui kolaborasi antara kerajaan, industri, akademia dan masyarakat.
Pelan hala tuju itu telah menggariskan 11 kes penggunaan AI kebangsaan dalam lima bidang keutamaan, termasuk pertanian, perhutanan, dan kesihatan.
"Memandangkan pelan hala tuju itu sampai 2025, jadi selepas ini, Kementerian akan mempertimbangkan sama ada terdapat keperluan untuk membangunkan pelan hala tuju baharu bagi memperkukuhkan lagi pembangunan AI di negara ini," tambah Ahli Parlimen Tanjung Malim itu.
Kommentare