Aspek keselamatan akan terus dipertingkatkan pada tahap maksimum di semua lokasi yang berisiko susulan serangan maut ke atas Balai Polis Ulu Tiram, Johor
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang terkejut dan sedih atas insiden serangan itu berkata pihaknya yakin pihak polis sudah memulakan siasatan terperinci berhubung insiden tersebut.
"Saya mewakili seluruh keluarga besar KDN (Kementerian Dalam Negeri) mengutuskan salam takziah kepada dua anggota yang telah terkorban dalam insiden semalam iaitu Konstabel Ahmad Azza Fahmi dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad.
"Saya juga mendoakan semoga afiyah dan kesembuhan segera buat Koperal Mohd Hasif Roslan yang mengalami kecederaan akibat ditembak," katanya semalam.
"InshaAllah saya akan keluarkan kenyataan selepas mendapat segala maklumat lengkap berhubung insiden ini," katanya dalam catatan di Facebook.
Terdahulu laporan memetik Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, kawalan keselamatan di balai polis dan kawasan yang membabitkan individu berprofil tinggi termasuk istana akan dipertingkatkan susulan kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram awal pagi semalam.
Beliau berkata langkah itu turut merangkumi keselamatan anggota polis dan individu berprofil tinggi termasuk menteri besar.
Dalam kejadian awal pagi ini, dua anggota polis terkorban dan seorang lagi cedera apabila seorang suspek lelaki bertopeng disyaki anggota Jemaah Islamiah (JI) menyerang Balai Polis Ulu Tiram, Johor.
Suspek maut ditembak anggota polis di tempat kejadian.
Comments